Perubahan Parlimen jadi keutamaan Anwar 


Yasmin Ramlan

Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen dan berikrar membantu Pakatan Harapan melunaskan janji manifesto pilihan raya dalam perubahan Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2018.

ANWAR Ibrahim berkata keutamaannya selepas kembali ke Parlimen adalah membantu kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu terutama dalam perubahan Parlimen negara. 

Bakal presiden PKR yang baharu mengangkat sumpah pagi ini sebagai ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

“Saya akan manfaatkan pengalaman dia (Lim Kit Siang) untuk menentukan beberapa isu yang patut disegerakan sekiranya dipersetujui oleh kerajaan dan kami akan mengadakan pertemuan sesegera mungkin dengan Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) VK Liew (Liew Vui Keong) - yang bertanggungjawab dan dengan Speaker Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya yang pertama di bangunan Parlimen selepas mengangkat sumpah.

“Keutamaan saya adalah untuk membantu kerajaan (memenuhi) sebahagian daripada manisfesto kami iaitu perubahan Parlimen,” katanya.

Anwar hari ini mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat mewakili Parlimen Port Dickson selepas memenangi kerusi tersebut Sabtu lalu.

Majlis angkat sumpah itu diadakan di hadapan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof pagi tadi. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen