MENTERI Pakatan Harapan mengalu-alukan kembalinya bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim ke Parlimen susulan kemenangannya pada pilihan raya kecil Port Dickson pada Sabtu
“Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan Anwar kembali ke Parlimen sebagai ahli Pakatan Harapan. Ini merupakan detik bersejarah kepada Parlimen,” kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga presiden Bersatu berkata Anwar akan memainkan peranan penting dalam proses pembaharuan Parlimen.
“Ini sesuatu yang kita janjikan dalam manifesto dan kita telah melakukannya. Dan saya pasti ahli Parlimen PH akan membantu beliau untuk membina Parlimen yang lebih baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kembalinya Anwar ke Parlimen sudah lama dinantikan, tambahnya ia menjadi kenyataan dan berterima kasih kepada pengampunan diraja yang diterima Anwar selepas Pilihan Raya Umum ke 14.
“Sudah lama beliau tunggu. Sebelum ini haknya untuk bertanding dinafikan,” kata Dr Wan Azizah yang juga isteri Anwar.
“Penyertaannya ke Parlimen menjadi kenyataan selepas mendapat pengampunan diraja atas dasar kegagalan keadilan.
“Bukan kerana beliau mengaku bersalah, tetapi ia diberikan kerana kegagalan keadilan,” kata Dr Wan Azizah kepada pemberita di Parlimen.
Presiden PKR itu dibebaskan pada 16 Mei selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong kerana sabitan kes liwatnya.
Pada Sabtu, Anwar kembali ke dunia politik selepas menawan kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi. – 15 Oktober, 2018
Komen