PKR Kapar tolak Abdullah Sani 


Nabihah Hamid

Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid tewas kepada Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang juga exco kerajaan Selangor yang meraih 1,678 undi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018

AHLI Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, yang lantang mendakwa kononnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pemilihan PKR, gagal merebut jawatan Ketua Cabang Kapar dalam pemilihan parti itu semalam.

Beliau hanya mendapat 626 undi, menduduki tempat ketiga daripada lima calon.

Jawatan ketua cabang dimenangi Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang meraih 1,678 undi.

Cabang Kapar bagaimanapun memilih Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden PKR. Rafizi mengalahkan Mohamed Azmin Ali dengan kelebihan 475 undi di Kapar.

Kapar adalah satu daripada tiga cabang yang memilih Rafizi di Selangor, daripada sembilan cabang yang mengundi semalam. Baki 13 cabang di negeri itu akan memilih pada 21 dan 28 Oktober ini.

Abdullah Sani yang menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berada di kedudukan 15 dalam pemilihan di Kapar.

Isterinya Faizah Ariffin pula mendapat undi tercorot bagi jawatan Naib Ketua Wanita Pusat, hanya meraih 250 undi dalam pemilihan 7 penjuru.

Semasa kempen pemilihan PKR bermula Julai lalu, Abdullah Sani menuduh ada konspirasi mahu menghalang Anwar Ibrahim daripada jadi perdana menteri.

Beliau mengaitkan Dr Mahathir dan Daim Zainuddin dalam tuduhannya itu.

Atas nasihat Anwar, Abdullah Sani meminta maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir, namun beliau tetap mempertahankan kenyataannya itu.

Atas dakwaannya itu juga, Abdullah Sani didesak oleh pertubuhan masyarakat di Kapar supaya letak jawatan.

Semasa pilihan raya umum ke-14, pencalonan beliau bertanding kerusi Parlimen Kapar juga dibantah oleh ahli PKR yang menghantar memorandum kepada pimpinan parti.

Dalam PRU14, Abdullah Sani mengalahkan calon Barisan Nasional, PAS dan bebas dengan majoriti 16,306 undi. – 15 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen