Dr Mahathir ke Kedah sampaikan pingat kepada Sultan


Chan Kok Leong Yasmin Ramlan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya mengadap Sultan Kedah untuk mempersembahkan darjah kebesaran bukan perbincangan perubahan kepimpinan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadap Sultan Kedah untuk mempersembahkan darjah kebesaran kepada baginda dan bukannya untuk membincangkan isu perubahan kepimpinan negeri.

“Saya ke Kedah petang ini nak sampaikan pingat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah,” katanya kepada wartawan di Parlimen, hari ini.

“Tak ada isu lain,” tambahnya.

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dijadual ditabal pada 22 Oktober ini.

Sejak beberapa minggu lalu, ada desas-desus akan berlaku perubahan pimpinan negeri di Kedah susulan kononnya rombakan kabinet di Putrajaya.

Spekulasi tersebar kononnya Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir akan diganti oleh wakil rakyat Gurun Johari Abdul, yang juga ahli Parlimen Sungai Petani.

Mukhriz dikatakan akan ke Putrajaya menggantikan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang mahu letak jawatan kerana masalah kesihatan.

Muhyiddin menjalani rawatan kanser pankreas di Singapura pada Julai lepas.

Minggu lalu, pejabat Muhyiddin menafikan spekulasi yang tersebar itu sebagai “berita palsu”.

Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September tahun lalu menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen