Dr Mahathir gembira Anwar kini di Parlimen


Yasmin Ramlan

Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen selepas menang PRK Port Dickson Sabtu lalu. Dr Mahathir Mohamad meluahkan kegembiraan dengan kepulangan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa gembira dengan kembalinya bekas seterunya Anwar Ibrahim ke Parlimen selepas menang kerusi Port Dickson.

Katanya, kepulangan itu sudah dijangkakan dan gembira Anwar yang juga bakal perdana menteri kelapan itu menang kerana “dari parti yang sama”.

“Sudah tentu saya gembira. Beliau dari parti yang sama,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenainya di lobi Parlimen hari ini.  

Selain Dr Mahathir (Langkawi-PH), majlis angkat sumpah Anwar juga disaksikan bekas perdana menteri Najib Razak (Pekan-BN) menjadikan ia majlis unik negara apabila buat pertama kali perdana menteri, bekas perdana menteri dan bakal perdana menteri berada dalam Dewan Rakyat pada masa sama.

Anwar disabitkan bersalah kerana liwat pada 2015 ketika pentadbiran Najib. Ini adalah kali kedua Anwar kembali ke Parlimen selepas dipenjarakan.

Beliau pertama kali kembali ke Parlimen pada Ogos 2008 selepas menang di Permatang Pauh. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen