WALAUPUN kadar kemiskinan jatuh sejak dua dekad lalu, lebih daripada sejuta isi rumah masih hidup dalam “kemiskinan relatif”, kata Institut Kajian Khazanah (KRI) dalam laporan “The State of Households 2018: Different Realities” yang dikeluarkan hari ini.
Dengan peningkatan kesenjangan pendapatan, lebih ramai orang boleh jatuh miskin dan papa, kata badan penyelidikan dana kekayaan luar negara Khazanah Nasional Berhad itu.
“Katakan, misalnya, dalam setahun kadar kemiskinan Malaysia adalah 40%, sementara tahun berikutnya kadar kemiskinan adalah 30%. Peratusan isi rumah hidup dalam kemiskinan jelas sekali menurun,” katanya dalam laporan itu.
“Bagaimanapun, katakan, jumlah penduduk untuk tahun pertama adalah 10 juta orang dan jumlah penduduk tahun berikutnya adalah 20 juta.
“Ini bermakna terdapat 4 juta isi rumah miskin pada tahun pertama dan 6 juta pada tahun berikutnya. Jumlah isi rumah miskin sudah meningkat sebanyak 2 juta.”
Kesenjangan upah
Kajian juga menunjukkan walaupun fakta menunjukkan kesenjangan pendapatan secara umumnya meningkat dengan penurunan koefisien Gini daripada 0.513 pada 1970 kepada 0.399 pada 2016, jurang kaya miskin masih boleh melebar.
Koefisien Gini adalah untuk mengukur kesenjangan ekonomi dengan mengukur pengagihan pendapatan penduduk. Ia diukur dalam skala 0 iaitu kesaksamaan sempurna dan 1 iaitu kesenjangan sempurna. Koefisien itu bagaimanapun tidak boleh mengukur perubahan dalam 10% kumpulan teratas atau 40% kumpulan terbawah yang merupakan kumpulan kemiskinan terbesar.
Laporan KRI juga mendedahkan perbezaan min pendapatan antara isi rumah T20 (20% teratas perolehan) dan isi rumah M40/B40 (tengah 40%/ bawah 40%) naik hampir dua kali ganda dibandingkan dua dekad lepas.

Isi rumah bandar secara puratanya memperolehi 80% pendapatan lebih banyak berbanding isi rumah luar bandar, dan keluarga dengan ketua isi rumah dengan pendidikan dan kemahiran lebih tinggi memperolehi pendapatan tiga sehingga empat kali ganda berbanding mereka yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan formal atau mereka yang bekerja dalam pekerjaan kemahiran rendah.
Banyak isi rumah di majoriti kawasan memperolehi kurang daripada median pendapatan isi rumah nasional yang berada pada tahap RM5,228 pada 2016. Kawasan perbandaran dan padat mempunyai median pendapatan isi rumah lebih tinggi.
Memotong perbelanjaan
Isi rumah berpendapatan rendah juga didapati membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka, dengan isi rumah dengan pendapatan bawah RM2,000 membelanjakan hampir 95% pendapatan mereka. Sebaliknya, isi rumah dengan pendapatan atas RM15,000 sebulan hanya membelanjakan 45% pendapatan mereka.
“Membimbangkan apabila isi rumah berpendapatan bawah RM2,000, pendapatan kekal selepas pengiraan untuk inflasi hanyalah RM76 pada 2016 jatuh berbanding RM124 pada 2014. Ini menunjukkan isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 sangat berpotensi rapuh terhadap kejutan ekonomi atau kecemasan,” kata laporan itu.
Laporan KRI juga menyebut yang pendapatan isi rumah berbeza mengikut negeri. Berdasarkan pengagihan pendapatan isi rumah Malaysia pada 2016, isi rumah M40 ditakrifkan sebagai isi rumah berpendapatan antara RM4,360 dan RM9,619.

“Bagaimanapun, jika kita mempertimbangkan pengagihan pendapatan mengikut negeri, tahap keseimbangan ikut negeri sangat berbeza. Isi rumah T20 di Kelantan, Perlis atau Pahang mungkin isi rumah B40 di KL. Isi rumah di Melaka, Johor dan Pulau Pinang paling hampir dengan purata nasional,” kata laporan lagi.
KRI juga mendapati yang tahap purata pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur hampir dua kali ganda berbanding kawasan lain di Malaysia.
Antara 2014 dan 2016, isi rumah dengan pendapatan bawah RM5,000 memotong perbelanjaan sebenar untuk makanan walaupun lebih banyak wang dibelanjakan kerana inflasi makanan yang tinggi.
Bagi isi rumah lebih kaya, perubahan itu tertumpu kepada gaya hidup- daripada perbelanjaan makan di rumah kepada makan di luar serta perkhidmatan kebudayaan dan hiburan. – 15 Oktober, 2018.

Komen