PENJAGA parkir yang diserang seorang individu bergelar “Datuk” dalam satu klip video viral mendedahkan insiden itu hanya salah faham berikutan kegagalan tiket parkir dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.
Penjaga parkir berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Molly memberitahu The Malaysian Insight perkara itu sudah diselesaikan dan menambah ia tercetus selepas video berkenaan dimuat naik di media sosial.
“Perkara itu sudah selesai sekarang. Malah ketika ia berlaku pada September saya sudah putuskan untuk gugurkan kes itu.
“Saya ada keluarga dan anak, saya tidak mahu panjangkan isu. Walaupun saya buat laporan polis saya putuskan untuk tidak meneruskan kes itu,” kata Molly.
Dalam klip video berkenaan yang menjadi viral, “Datuk” terbabit dirakam memarahi dan menyerang penjara parkir di sebuah hotel di ibu negara. Insiden itu dipercaya berlaku pada 18 September.
Bagaimanapun ketua polis daerah Brickfields Ruslan Khalid berkata kenyataan suspek sudah diambil di Brickfields dan siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (DPP).
“Terpulang kepadanya untuk memaafkan atau memeluk lelaki itu. Kami akan terus menyiasat dan menghantar IP ke DPP. DPP akan memutuskan sama ada untuk mendakwa atau tidak.
“Polis masih menyiasat perkara itu,” kata Ruslan kepada The Malaysian Insight.
Ruslan dipetik sebagai berkata, berdasarkan laporan penjaga parkir terbabit, lelaki berkenaan menjadi agresif apabila penjaga enggan menaikkan palang untu keluar di hotel berkenaan selepas lelaki berkenaan didapati tidak membayar tiket parkir RM3.
Katanya, penjaga parkir itu membuat laporan polis pada 19 September.
Molly kemudian menjelaskan tiket parkir yang dikeluarkan kepada “Datuk” itu tidak berfungsi sebelum menyatakan beliau adalah pekerja baru hotel berkenaan.
“Biasanya untuk VVIP, mereka diberikan tiket percuma tetapi saya tidak tahu mengapa pada hari berkenaan beliau perlu bayar. Ia bukan salah saya kerana saya hanya penjaga parkir.”
“Saya cuba jelaskan kepadanya, tetapi belum pun saya jelaskan, beliau mula pukul saya. Saya juga baru kerja di sini. Hanya lima lima bulan jadi saya tidak tahu siapa pelanggan tetap di sana,” kata Molly.
Selepas video pertama viral, muncul pula video kedua yang memaparkan kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian itu.
Molly didakwa menerima wang daripada lelaki terbabit yang merupakan pengarah di sebuah syarikat telekomunikasi.
“Saya tidak terima satu sen pun. Video berkenaan dirakam di sebuah restoran, minuman pun tiada untuk saya.
“Saya ke sana hanya untuk selesaikan perkara itu. Bukan sebab saya dibayar,” katanya.
Molly berkata perkara berkenaan sudah selesai dan beliau tida tahu siapa yang sebarkan video serangan pertama di media sosial.
“Saya tidak tahu. Saya hanya penjaga parkir. Mungkin seseorang di hotel tapi saya tidak tahu siapa.”
“Bagi saya, saya sudah selesaikan isu ini dan ‘Datuk’ pun sudah minta maaf. Jadi semuanya selesai,” katanya. – 15 Oktober, 2018
Komen