Puisi Malaysia akan berubah, kata penyair Indonesia


Nabihah Hamid

Penyair Indonesia Joko Pinurbo yang datang Malaysia merasakan landskap puisi negara akan berubah seiring dengan perubahan politik negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Oktober, 2018.

PUISI di Malaysia akan berubah, kata penyair terkenal Indonesia Joko Pinurbo, seiring dengan peralihan politik yang berlaku kesan pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Katanya, perubahan sama juga berlaku dalam peta puisi Indonesia selepas reformasi di republik itu dua dekad lalu.

Perubahan politik memberikan inspirasi yang berbeza kepada penyair, terutama generasi muda yang merasai perubahan itu, kata penerima Penghargaan Penulis Asia Tenggara 2014 itu.

“Kalau dalam dunia puisi Indonesia misalnya, para penyair sekarang sudah banyak yang masuk tema yang sepertinya tidak ditulis para penyair pada zaman dulu,” kata Joko dalam diskusi seni di Petaling Jaya, kelmarin.

“Mereka lebih bebas meneroka dan menemukan gaya sendiri,” katanya, merujuk pada tema dan gaya puisi yang lebih luas setelah reformasi.

Namun Joko menjelaskan beliau tidak tahu bagaimana mungkin ada sebuah puisi politik yang meninggalkan kesan mendalam seperti puisi cinta Chairil Anwar.

“Saya jadi terfikir apakah benar politik tidak boleh tulis dengan cara yang lain yang berbeza,” kata penyair yang baru-baru ini menerbitkan kumpulan puisi Buku Latihan Tidur.

Joko Pinurbo salah sebuah nama besar sastera Indonesia berkata penyair zaman sekarang mempunyai banyak tema penulisan berbanding penulis zaman dahulu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Oktober, 2018.

Diskusi bertajuk “Puisi dalam Politik Baru” anjuran Rumah Seni Selangor pada Jumaat lalu itu turut menampilkan penyair Malaysia, Zaen Kasturi.

Zaen dalam pada itu berkata puisi tidak perlu terikut-ikut dengan peredaran zaman dan perlu dihasilkan dari jiwa. 

Katanya, terpulang kepada penyair untuk menulis puisi apa saja asalkan yang ditulis itu untuk memberi makna kepada hidup sebagai manusia.

Puisi tidak harus berada dalam gelombang, gelombang apa sahaja. Puisi perlu lahir dari jiwa, kata Zaen Kasturi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Oktober, 2018.

“Bukan saya kata tidak boleh ikut peristiwa, ikut perubahan… masih boleh tulis, tapi ikut pada kita. 

“Puisi tidak harus berada dalam gelombang, gelombang apa sahaja. Puisi perlu lahir dari jiwa,” kata penulis kumpulan puisi Katarsis dan 77 Tuju itu.

“Saya lebih menekankan bahawa barangkali seseorang itu menulis kerana mahu menulis,” tambahnya.

Joko yang berada di Malaysia selama tiga hari turut menganjurkan bengkel penulisan puisi. Malam tadi, puisi tulisan beliau diraikan dalam acara persembahan deklamasi dan lagu puisi. – 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen