ANCAMAN tsunami di kebanyakan bahagian di Sabah masih rendah kecuali Tawau, kata pakar geologi negeri itu.
Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam Sabah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Felix Tongkul berkata tiada kebimbangan buat masa ini untuk berdepan ancaman bencana itu.
Katanya tidak seperti gempa bumi yang berlaku tanpa amaran, ancaman tsunami kebiasaannya berlaku berpunca akibat gempa di dasar laut dan penduduk masih mempunyai masa untuk bertindak dan menyelamatkan diri.
Bagaimanapun Dr Tongkul turut menekankan bahaya tsunami dan orang ramai perlu mengetahui tindakan yang perlu diambil jika situasi itu berlaku.
“Tidak perlu terlalu bimbang. Ancaman masih rendah kecuali kawasan di Tawau.
“Sudah tentu penggunaan teknologi mampu menyelamatkan banyak nyawa tetapi perkara yang paling penting adalah persediaan penduduk terlibat untuk berdepan bencana itu.
“Ini bermakna mereka perlu bertindak dengan pantas dan berpindah ke kawasan yang jauh dari ancaman tsunami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Semalam Jabatan Meteorologi membangkitkan kebimbangan tentang kemungkinan ancaman tsunami di Sabah susulan puluhan gempa kecil di selatan Filipina dan kepulauan Indonesia sejak beberapa minggu lalu.
Seorang pegawai jabatan itu memberitahu kepada akhbar The Star bahawa sebanyak 24 gempa bumi berlaku di Sulawesi, Indonesia dan Pulau Mindanao, Filipina dengan ukuran antara 3.4 dan 6.0 skala Richter.
Pegawai yang enggan dikenali itu berkata gempa di dasar laut boleh berlaku pada bila-bila masa.
Namun menurut Dr Tongkul, gempa bumi besar melebih 6.5 skala Richter jarang berlaku di Malaysia disebabkan kedudukan geografi negara ini yang jauh daripada lokasi pergeseran kerak bumi.
“Gempa di negara ini kebanyakannya lemah bermagnitud antara 3 dan 5 di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya.
Sehingga hari ini, tiada peralatan atau teknologi yang mampu meramal gempa bumi atau tsunami, katanya. – 14 Oktober, 2018.
Komen