Bertutur dalam bahasa Inggeris cara Amanah


Looi Sue-Chern

Kelab Bahasa Inggeris Amanah menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.– Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

SETIAP pagi Ahad, sekumpulan individu dari pelbagai lapisan masyarakat dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkumpul di pusat khidmat masyarakat Pakatan Harapan di Bertam Perdana 2, hanya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. 

Mereka akan bercakap dalam bahasa Inggeris antara satu sama lain untuk dua jam bermula 9 pagi hingga 11 pagi di Kelab Bahasa Inggeris Amanah hasil cadangan setiausaha penganjur Amanah Pulau Pinang Nasrul Hisyam Bokhari. 

“Ia adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat mempraktikkan perbualan dalam bahasa Inggeris,” kata Nasrul. 

Ia mungkin tidak selucu sitkom komedi British pada 1980an, ‘Mind Your Language’, namun peserta turut digalakkan untuk berlawak dalam bahasa Inggeris. 

Rancangan Mind Your Language mempunyai watak pelbagai kaum, termasuk pelakon Malaysia yang menetap di UK, Lim Pik Sen. Ia berlatarbelakangkan di sebuah kolej dewasa di London, yang mana sekumpulan pelajar asing dewasa belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa luar. 

Namun dalam kelas di Pulau Pinang itu, kesemua pesertanya adalah Melayu tempatan. 

“Kebolehan berbahasa Inggeris orang Melayu tidak teruk. Kebanyakannya hanya kurang dari segi kemahiran perbualan. 

“Jadi mereka yang mengambil bahagian dalam kelab bahasa Inggeris komuniti ini akan memaksa diri mereka untuk bercakap dalam bahasa Inggeris,” kata Nasrul kepada The Malaysian Insight ketika ditemui baru-baru ini.

Setiausaha penganjur Amanah Pulau Pinang Nasrul Hisyam Bokhari yang mencetuskan idea untuk menubuhkan kelab berkenaan.  – Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

Mereka turut memiliki kumpulan WhatsApp untuk peserta berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Peserta juga boleh mengadakan pertemuan mereka sendiri untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. 

Setakat ini, kelab yang baru ditubuhkan itu mempunyai 20 peserta, kebanyakannya pelajar Tingkatan 6 yang akan menduduki ujian Malaysian University English Test (MUET) yang diperlukan untuk kemasukan ke universiti tempatan. Jumlahnya kini semakin meningkat. 

Setiap minggu, peserta akan belajar perkataan, pemikiran dan tatabahasa; bercakap berdasarkan topik yang diberi, memberi ucapan dan menyelesaikan tugasan ringkas lain. 

Peserta juga setiap minggu akan bergilir-gilir menjadi pengacara, iaitu orang yang akan memeriksa kekurangan dalam ucapan dan memberikan beberapa lawak dalam bahasa Inggeris. 

Pelajat Tingkatan 6 Saidatul Raihan Muhamad Rashid, 18 dari Pokok Sena berkata, beliau menyertai kelab berkenaan untuk berpeluang bercakap dalam bahasa Inggeris bagi memudahkannya menduduki ujian MUET. 

Remaja berkenaan yang bercita-cita untuk menjadi pakar ekonomi berkata, sukar untuknya mendapat peluang bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun di sekolah. 

Shahidan Saaid, 43, yang bekerja di kolej vokasional GiatMARA, turut menyertai kelab berkenaan. 

“Saya boleh memahami bahasa Inggeri tanpa sebarang masalah, tetapi saya tidak bercakap dalam bahasa Inggeris sejak tamat sekolah. 

“Kami tidak bercakap dalam bahasa Inggeris di temoat kerja saya. Jadi ini memberi peluang kepad saya untuk mula membiasakan diri dengan bahasa lain,” kata Shahidan.

 Shahidan Saaid turut menyertai kelab berkenaan bagi mempraktikkan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

Peserta paling tua dalam kumpulan berkenaan Ramli Omar, merupakan seorang pesara yang sebelum ini bekerja dengan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Kepala Batas berkata, menonton program berbahasa Inggeris di televisyen untuk belajar bahasa Inggeris adalah baik tetapi ianya hanya terhad kepada mendengar. 

“Kebanyakan orang berdepan masalah untuk bercakap dalam bahasa Inggeris. Kelab ini memberi peluang kepada ahli bercakap bahasa Inggeris dengan lebih baik,” katanya yang kini fasih berbahasa Inggeris. 

“Saya belajar di sekolah Melayu ketika muda. Tetapi apabila mula bekerja, saya ada majikan Cina. Saya bercakap bahasa Inggeris dengannya.” 

Ramli berkata, fasih dalam bahasa Inggeris adalah sangat berguna, dan berkata dua cucunya juga membesar dengan berbahasa Inggeris di rumah.

“Anak perempuan saya bercakap bahasa Inggeris dengan suaminya, yang berketurunan India. Jadi anak-anak mereka lebih baik dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu ketika mereka kecil. Ia mengambil masa untuk mereka belajar bahasa Melayu di sekolah. 

Pelajar Tingkatan 6, Saidatul Raihan Muhamad Rashid turut menyertai kelab berkenaan sebagai persediaannya untuk menduduki ujian MUET.

“Fasih dalam bahasa Inggeris adalah satu kelebihan. Ia memudahkan kita mendapat lebih banyak ilmu, dengan membaca artikel bahasa Inggeris di Internet,” katanya. 

Seorang lagi yang fasih berbahasa Inggeris dalam kelab berkenaan Mohd Shafiq Hasnawi, 31, yang merupakan pemegang ijazah sarjana Konservasi Alam Sekitar, berkata beliau menyertai kelab berkenaan untuk berbual dalam bahasa Inggeris kerana penyertaannya adalah percuma. 

Nasrul berkata peserta hanya akan menyertai kelab itu selama tiga bulan sebelum pengambilan ahli baru. 

“Mereka yang sudah tiga bulan bersama kami akan digalakkan menyertai kelab lain di sekitar Pulau Pinang, yang mana mereka boleh terus mempraktikkan bercakap dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Terdapat rancangan untuk meluaskan Kelab Bahasa Inggeris Amanah ke seluruh negeri, katanya kerana terdapat permntaan bagi program itu di kawasan lan seperti di Bayan Lepas. 

“Saya sedang menyiapkan kertas kerja bagi mendapatkan sokongan kerajaan negeri untuk memperluaskan projek ini ke seluruh negeri. Saya sudah bercakap dengan exco Belia dan Sukan Soon Lip Chee berhubung perkara itu.”

Nasruk berkata, beliau boleh menarik pengembara dari Kelab Meluncur Couch untuk berkhidmat sebagai tutor bagi membantu ahli meningkatkan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Kita ada ramai pengembara dari Eropah di Pulau Pinang. Mereka boleh bertutur dalam banyak bahasa. Mereka boleh membantu,” kata ahli Amanah yang juga gemar mengembara. – 14 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen