Agenda Bumiputera isu nasional, bukan isu politik


Zaim Ibrahim

Ramai berpendapat Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan dalam pelbagai bidang sosio dan ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

AGENDA Bumiputera bukan isu politik tetapi harus dilihat sebagai isu nasional yang memerlukan perhatian serius kerajaan untuk membetulkan kepincangan ekonomi dan sosial rakyat Malaysia, kata ahli ekonomi dan ahli akademik.

Mereka berpendapat Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan dalam pelbagai bidang sosio dan ekonomi.

Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali menjelaskan agenda mengangkat sosio ekonomi Melayu dan Bumiputera tidak akan dipinggirkan walaupun dasar ekonomi Pakatan Harapan akan berteras pada keperluan dan bukannya perkauman.

“Kita harus terima hakikat, daripada statistik dan data, yang masih jauh ketinggalan dan kelompok paling ramai dalam kumpulan B40, adalah Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam satu acara dialog minggu ini.

Azmin turut beranggapan, tuduhan beberapa pihak yang kononnya Pakatan meminggirkan ekonomi Melayu dan Bumiputera adalah dakwaan yang tidak bertanggungjawab.

“Dalam masa 100 hari, kita lancarkan Kongres Bumiputera dan Masa Depan Negara (KBN 2018) yang bertujuan sebagai satu anjakan paradigma kepada Melayu dan menambah keyakinan untuk berdepan dan bersaing dalam ekonomi,” tambahnya.

Bekas Presiden Umno, Najib Razak sebelum ini berkata, orang Melayu tidak boleh berharap kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk memperjuangkan nasib mereka kerana kekuatan parti Melayu dalam gabungan itu datang daripada sokongan orang bukan Melayu.

Naratif sama juga diulang-ulang oleh Umno dan beberapa pertubuhan Melayu yang sebelum ini kuat mendukung kerajaan Barisan Nasional.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa misalnya pernah berkata, Pakatan didalangi oleh DAP dan kerana itu tidak serius memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Bekas CEO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Mohd Nizam Mashar berpendapat agenda Bumiputera bukan agenda politik tetapi agenda nasional kerana kelompok itulah yang majoritinya masih ketinggalan dalam sosio ekonomi dan pemilikan aset.

Ketua umum PKR Anwar Ibrahim pernah menasihati Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar kerajaan PH memberi penekanan kepada isu kepentingan Melayu dan bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

“Daripada segi kekayaan, pengumpulan aset, pendapatan, dan perniagaan kita (orang Melayu dan Bumiputera) ketinggalan (berbanding kaum lain). Sumbangan peniaga Melayu kepada keluaran kasar dalam negara (KDNK) masih di bawah 9%.

“Jurang itu perlu dikurangkan, jika tidak ia akan wujudkan pelbagai konflik antara agama dan kaum kerana tiada kawalan ekonomi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Isu agenda Bumiputera kembali bangkit selepas kerajaan baru-baru ini menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 untuk mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan sebelum Putrajaya menggubal dasar baru memperkasakan sosio ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Kongres itu berlangsung kebetulan hanya beberapa hari selepas bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim menasihati Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan Pakatan Harapan memberi perhatian kepada isu-isu kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Anwar malah menegaskan beliau tidak layak jadi perdana menteri sekiranya mengabaikan hal-hal melibatkan agenda Melayu dan Islam.

Ada satu lagi sebab kenapa agenda Bumiputera masih relevan sekarang, kata Nizam.

“Orang Melayu masih terperangkap dalam ekonomi lama, bukan baru seperti digital dan teknologi,” jelasnya.

Beliau memberikan contoh bagaimana resolusi pada kongres baru-baru ini masih menawarkan idea yang seolah-olah dikitar semula daripada beberapa kongres sebelumnya.

Nilai dan etika

Isu nilai orang Melayu yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini juga bukan isu politik tetapi persoalan nilai yang juga relevan pada semua kaum, kata peneliti pemikiran negarawan itu.

Dalam beberapa ucapan sejak Ogos, Dr Mahathir berulang kali menyentuh soal sikap, nilai dan etika orang Melayu yang pada analisisnya menghambat kemajuan mereka sendiri.

 Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berulang kali menyentuh soal sikap, nilai dan etika orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Zaharudin Sani berkata Dr Mahathir hanya meneruskan ideanya untuk mengubah rakyat dan negara, yang beliau mulakan semasa 22 tahun jadi perdana menteri kali pertama sebelum ini.

“Dr Mahathir mahu orang Melayu berani terbang lebih tinggi. Beliau mahu mereka padamkan sifat takut mencuba atau tunggu dan lihat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tetapi bagi ahli akademik Mohd Tajuddin Rasdi, yang terkenal lantang bersuara, Melayu Islam susah berubah walaupun berulang kali ditegur kerana salah faham mereka yang mendewakan agama, bukan hidup dengan beragama.

“Agama tidak jadi amalan rohani yang boleh memberi nilai dan landasan kemanusiaan,” jelasnya. – 14 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen