Manifesto khas Pakatan untuk pikat pengundi Sabah dan Sarawak


Muzliza Mustafa

Sebahagian isi kandungan brosur yang dikeluarkan Pakatan Harapan untuk digunakan pada kempen pilihan raya umum akan datang.– Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.

MANIFESTO untuk rakyat Sabah dan Sarawak akan digubal tidak lama lagi kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.

Ahli majlis presiden PH bersetuju dua negeri itu diberikan tumpuan khas.

“Kita akan buat manifesto eksklusif untuk Sabah dan Sarawak dan perbincangan akan dibuat pada mesyuarat majlis presiden pada 24 Ogos,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

PH turut melancarkan “brosur merah jambu” mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad.

Brosur Skandal Rompakan Terbesar Dunia, akan diedarkan pada kempen pilihan raya PH dan program yang diadakan di seluruh negara.

Ia mengetengahkan isi mengenai kesan skandal 1MDB terhadap negara dan rakyat Malaysia.

Pada sidang media yang sama, Dr Mahathir berkata logo baharu termasuk nama penuh Pakatan Harapan sudah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk kelulusan.

“Kami masih belum menerima apa-apa maklum balas. Kami perlukannya cepat kerana ia akan digunakan pada banner dan bendera untuk dicetak sebagai persiapan pilihan raya umum.”

PH turut menubuhkan pejabatnya di Pulau Pinang, Johor dan Selangor. Negeri lain akan menyusul dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Pengerusi PH negeri adalah Lim Guan Eng (Pulau Pinang); Mohamed Azmin Ali (Selangor); dan Muhyiddin Yassin (Johor). – 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen