Memang betul drama Melayu perosak bangsa


Zainal Rashid Ahmad

TERKEJUT! Begitu berani mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Firdaus Abdullah mendedahkan kebenaran mengenai betapa bejatnya kejahatan dalam drama Melayu.

Satu keberanian melebihi usaha dua wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope dan Tom Wright yang menulis buku “Bilion Dollar Whale” demi mendedahkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apa tidaknya, skandal yang didedahkan Firdaus membabitkan isu yang sudah puluhan tahun lamanya. Sejenis penjajahan dan korupsi minda serta ketirisan kepala otak orang Melayu yang dibiarkan secara berpanjangan dimusnahkan oleh drama Melayu.

Ini skandal berdekad-dekad lamanya oleh regim jahat dalam industri drama Melayu. Mereka yang mempengaruhi dan membentuk minda buruk penonton tempatan.

Kata Firdaus, dalam wacana cendekiawan di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini, drama Melayu antara punca sikap negatif bertapak dalam fikiran penonton kerana dipenuhi dengan elemen kemarahan, kebencian dan kutuk mengutuk!

Cukup dengan memetik intro drama Melayu yang dicela Firdaus dalam ucapan akademiknya. Malah, memadai dengan hujah paparan melampau drama Melayu yang sarat dengan elemen kemarahan, kebencian dan kutuk mengutuk.

Ia bukti yang sudah berbaloi untuk membuktikan, DNA dalam kepala otak drama Melayu dipenuhi elemen negatif hasil susuan seni murahan.

Tiga elemen ini pun, sebenarnya hanya antara ratusan elemen jahat yang sudah lama disogokkan setiap senja sampai ke malam di kaca TV.

Resipi popular ini menjadikan orang Melayu sayugia amat bahagia menikmati katarsis nafsunya. Apa tidaknya, drama Melayu adalah alat pemuas libido jahat dalam diri penontonnya.

Kecanduan terhadap elemen negatif dalam drama Melayu bukan satu realiti aneh. Orang Melayu menikmatinya sejak era slot “Potret Pekerti” dan “Drama Minggu Ini” pada dekad 70-an di RTM.

Penonton drama Melayu sudah menjadi penagih kejahatan sejak sekian lama. Ia tambah dahsyat apabila muncul era saluran TV swasta dan rangkaian TV satelit. Candu kejahatan dalam drama Melayu makin mencetuskan fenomena.

Bukan rahsia pun, rating tontonan setinggi lima juta penonton, kini hanya satu angka biasa bagi slot drama, terutama drama rantaian. Makin dramatik elemen candu dari episod ke episod yang disiarkan, makin tinggi rating penagihnya.

Elemen dramatik yang penuh libido gelap menjadi kegilaan penonton. Apalagi, kalau ceritanya berkisah pada tema perbalahan keluarga. Terutama, antara mertua dengan menantu; atau anak dan ibu tiri.

Lebih hebat lagi, kalau ada watak orang ketiga yang berusaha bersungguh-sungguh memusnahkan rumah tangga orang.

Pecandu akan lebih ketagihan kalau drama rantaian ini berani memaparkan watak orang alim atau ustaz yang kaki betina, pelanggan pelacur, penggoda isteri orang dan penyeleweng dana surau atau tahfiz.

Candu totoknya ialah drama mesti ada resipi syaitan yang terlihat seperti malaikat. Atau, malaikat seperti syaitan yang dipaparkan sebagai dwi wajah manusia Melayu itu sendiri.

Elemen krisis dalam drama Melayu akan jadi lebih berdaya tarikan, apabila sikap penuh pengkhianatan, penyelewengan amanah, skandal seks, perebutan harta dan penipuan pusaka dijadikan trending plot dramanya.

Elemen libido inilah yang dikaitkan dengan sikap kemarahan, kebencian dan babak kutuk mengutuk yang dikritik keras oleh Firdaus.

Kritikan sebenarnya sudah lama dilemparkan. Namun, kartel drama Melayu ini umpama mafia seni yang sukar digugat. Mereka lebih berkuasa daripada segala kuasa yang ada.

Sokongan iklan

Pengiklan menyasarkan slot drama jenis ini. Pelbagai jenama produk Top 100 akan berebut-rebut mendapatkan iklan komersil bagi siaran drama berantai genre ini. Malah, penaja korporat pun sanggup terjun ke liga drama berantai, semata-mata mahu menempatkan jenama mereka dalam kesibukan trafik penonton.

Pengiklan jenis attention seeker atau pencari perhatian ini akan mendesak agensi media mereka untuk mendapatkan slot komersil drama Melayu jenis ini dalam apa juga paras harga.

Pengiklan tidak peduli sama ada isi drama begini relevan atau tidak dengan imej atau produk mereka. Sebaliknya, berpegang pada pesona rating yang melambung tinggi.

Ini kerosakan mental yang sangat teruk dalam lingkaran industri penyiaran. Konspirasi antara pemilik jenama, agensi iklan dan stesen TV menciptakan kartel kelas mafia yang sangat berkuasa. Ketiga-tiga rantai pemain inilah, yang mencatur agenda merosakkan pemikiran penonton.

Penonton hanyalah mangsa licik konspirasi kartel ini. Penonton adalah penagih candu yang perlahan-lahan sedang dibunuh IQnya oleh pengiklan, agensi media dan stesen TV.

Bagaimana mengawalnya?

Tiada ukuran moral dijadikan sandaran pengiklan, agensi media mahupun stesen TV itu sendiri. Teori candu ini adalah bisnes yang bebas daripada sebarang kekangan undang-undang.

Kebebasan inilah yang menjadikan elemen utama candu drama Melayu terus disebarkan untuk mencipta ketagihan.

Stesen TV pun tidak pernah peduli soal ukuran moral intelek. Drama candu jenis ini menciptakan rating. Manakala rating mencipta harga iklan yang tinggi. Itu sasaran stesen TV.

Sasaran agensi iklan pula ialah meletakkan jenama pelanggannya di slot paling tinggi tontonan. Itu syaratnya. Selalunya, pemilik jenama hanya mahukan exposure pada program yang mampu mencipta ledakan tontonan tertinggi. Semuanya kerana rating, rating dan rating.

Agensi media dan pengiklan sudah berdekad lamanya tidak menyokong program pendidikan. Apa lagi program berteraskan nilai maklumat dan pembangunan sahsiah.

Di mata kartel mafia ini, penyebaran maklumat dan tanggung jawab moral adalah tugas kerajaan!

Beginilah realitinya – bagaimana orang Melayu sedang dimusnahkan hasil seni bikinan negara bangsanya sendiri. Ia strategi tersusun yang punya nilai dinamik dan agenda kolektif yang halus.

Penonton Melayu kini adalah mangsa pembunuhan candu hiburan drama yang dirancang secara teliti. IQ Melayu memang sasaran agenda ini.

Untuk mengubah apa yang dibantai Firdaus adalah mustahil. Skandal “Billion Dollar Whale” dalam kebejatan drama Melayu memerlukan tindakan yang jauh lebih berani berbanding menentang skandal 1MDB itu sendiri.

Firdaus sudah menyuarakan dengan berani. Persoalan sekarang: Apakah kuasa mafia dalam kartel drama Melayu ini boleh dikalahkan?

Finas antara polis dalam industri ini. Khabarnya, Finas sudah menerima pasukan pentadbir baharu. Apakah Finas mampu melaksanakannya? Atau, akhirnya kekal karam dan tenggelam bersama semua kejahatan ini! – 14 Oktober, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen