Putrajaya kecewakan anak terperangkap dalam perebutan antara agama, kata peguam


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Isu penukaran agama anak mangsa penceraian tanpa keizinan salah seorang ibu bapanya masih tidak selesai selepas Putrajaya menarik Klausa 88A tiga hari lalu. – Gambar EPA, 10 Ogos, 2017.

TINDAKAN Putrajaya meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 yang diluluskan tanpa klausa 88A semalam seolah-olah melepaskan peluang untuk membawa keadilan kepada semua pihak terutamanya terhadap kanak-kanak, kata pengamal undang-undang keluarga Honey Tan.

Tan berkata, keputusan tersebut menyedihkan memandangkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral akan terus memberi kesan terhadap keluarga dan kanak-kanak terbabit.

“Saya pasti penyalahgunaan dalam agama untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak tersebut akan berterusan.

“Lebih menyedihkan apabila ia terus memberi persepsi orang ramai dengan menyalahkan agama. Ini yang akan terjadi apabila individu yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini tidak menggunakan kuasanya untuk keadilan dan harmoni,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ia turut dipersetujui peguam Joanne Leong yang berpandangan antara sebab utama klausa 88A itu diusulkan sebelum ini kerana masalah ibu bapa menyalahgunakan agama dalam perebutan hak penjagaan anak-anak mereka.

Leong sebelum ini mewakili S Deepa, seorang ibu beragama Hindu yang pernah berdepan dengan pertikaian hak penjagaan anaknya, selepas suaminya menukar agama dua anak mereka kepada Islam.

“Oleh itu, setakat ini, dengan menarik balik klausa 88A itu, ini bermakna tiada jalan penyelesaian kepada masalah tersebut dan mereka akan terus-menerus menyalahgunakan agama.

“Ia sangat mengecewakan apabila kerajaan kita tidak ke hadapan dalam perubahan sebegini yang kita lihat betapa pentingnya untuk negara kita dilihat sebagai negara maju yang moden,” katanya.

Klausa 88A, yang menyatakan agama kanak-kanak itu hendaklah kekal dalam agama yang dibesarkan sebelum salah seorang ibu atau bapa menukar agama, adalah tambahan baru kepada pindaan itu.

Kes Indira Ghandi (kiri) antara kes yang mencetuskan polemik sivil dan syariah melibatkan agama anak-anak selepas perceraian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.

Perdebatan yang bermula jam 8.30 malam itu berakhir hampir lima jam kemudian dengan 20 orang ahli Parlimen mengambil giliran membahaskan klausa dan pindaan termasuk klausa 88A yang ditarik balik daripada RUU tiga hari lalu.

Sister In Islam (SIS) dalam satu kenyataannya juga menyifatkan undang-undang terkini itu gagal memberikan keadilan atau menyediakan hak undang-undang yang sewajarnya terhadap pasangan mereka yang tidak menukar agama, yang kemudiannya akan memberi kesan terhadap mereka.

“Kami amat bersimpati dengan isu ini secara keseluruhannya tetapi kami merasakan kerajaan telah gagal menjalankan tugas mereka untuk melindungi kepentingan kanak-kanak tersebut,” katanya.

Cadangan pindaan dirangka susulan beberapa perebutan hak penjagaan anak membabitkan ibu bapa beragama Islam dan bukan Islam, termasuk Indira Gandhi dan bekas suaminya K Pathmanathan yang sudah memeluk Islam.

Pindaan RUU akta perkahwinan ini menyentuh hak pasangan suami isteri yang memeluk Islam untuk membubarkan perkahwinan dengan orang bukan Islam di mahkamah sivil.

Ia juga memberi hak kepada individu membuat permohonan bagi pelepasan sampingan seperti tanggungan, hak penjagaan anak, pembahagian harta perkahwinan dan lain-lain.

Pindaan ini juga memberikan hak yang sama dalam persetujuan perkahwinan kepada ibu atau ibu angkat seseorang di bawah umur 21 tahun sebagaimana yang diberikan kepada bapa. – 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen