KETUA Menteri Sabah Shafie Apdal memerintahkan Jabatan Imigresen Sabah menghentikan pengeluaran pas pelawat kepada anak-anak pelarian Filipina.
Arahan itu bagi memastikan usaha kerajaan menangani isu pendatang tanpa izin di negeri itu tidak terjejas.
Shafie menegaskan bahawa beliau hanya mengetahui perkara tersebut baru-baru ini, di samping menambah bahawa Jabatan Imigresen perlu mendapat arahan dari Kementerian Dalam Negeri sebelum pas tersebut dikeluarkan.
“Saya baru saja mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan beberapa dan kami tidak menyentuh mengenai perkara penerbitan IMM13.
“Tetapi apabila ia berlaku saya terkejut, saya terpaksa arahkan mereka supaya menghentikannya,” kata Shafie kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Upko di Kota Kinabalu hari ini.
IMM13 adalah pas pelawat yang dikeluarkan Jabatan Imigresen di bawah Peraturan 11 Undang-undang Imigresen 1963 kepada pelarian Filipina yang melarikan diri dari kerusuhan di Filipina Selatan pada tahun 1970-an.
Pemegang IMM13 dibenarkan tinggal di Sabah dan Labuan dan dibenarkan bekerja tanpa perlu memohon pas kerja. Mereka juga dibenarkan pergi ke sekolah dan menerima perkhidmatan perubatan percuma dari klinik kerajaan dan hospital.
Penerbitan IMM13 dihentikan pada 2013 selepas pencerobohan pengganas dari Filipina Selatan ke Lahad Datu di Sabah.
Bagaimanapun, dua hari lalu, Unit Khas Jabatan Imigresen di Wisma Bandang dibanjiri pemegang IMM13 yang cuba mendapatkan dokumen tersebut untuk anak mereka selepas permohonan untuk pas dibuka semula.
Gambar dan video orang ramai yang menunggu di Jabatan Imigresen telah menjadi tular dan mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi kad pengenalan Malaysia yang dikeluarkan kepada orang asing.
Amalan pemberian pas itu segera dihentikan pada keesokan harinya.
Shafie berkata IMM13 adalah antara isu yang sedang cuba diselesaikan oleh kerajaan negeri dan memerlukan kerjasama Putrajaya.
Beliau berkata jika Jabatan Imigresen Persekutuan bertindak sendiri, tanpa pengetahuan negeri, ia akan melumpuhkan usaha Sabah untuk menangani masalah pendatang asing.
“Selain itu, jika isu itu melibatkan orang tanpa kerakyatan, mempunyai pendekatan yang berbeza tetapi apabila ia melibatkan ibu bapa pendatang tanpa izin, jabatan itu harus biarkan sahaja begitu.
“Ini harus jadi amalan Jabatan Imigresen,” katanya.
Shafie menambah jabatan itu tidak sepatutnya membazirkan wang kerajaan untuk mengekalkan pusat-pusat tahanan ketika mereka boleh gunakan dana yang ada untuk mengusir pendatang tanpa izin kembali ke negara asal mereka.– 13 Oktober, 2018.
Komen