SPRM, LHDN sepatutnya siasat sekali Najib dan isteri, kata Dr Mahathir


Muzliza Mustafa

DR Mahathir Mohamad mengalu-alukan serbuan ke atas syarikat anaknya namun berkata, ia juga perlu dibuat ke atas Perdana Menteri Najib Razak dan keluarganya.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dialu-alukan untuk memeriksa akaunnya, kata pengerusi Pakatan Harapan itu selepas mempengerusikan mesyuarat kedua pakatan itu di Parlimen hari ini.

Namun beliau tidak berhenti di situ dan turut mencadangkan SPRM dan LHDN menjalankan siasatan yang sama ke atas Najib, isteri dan keluarganya.

Katanya Najib melakukan jenayah terhadap negara.

“Mereka juga perlu siasat sumber kekayaan sebahagian daripada menteri seperti Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) dan Hishammuddin Hussein,” katanya merujuk kepada timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

“Saya cadangkan SPRM perlu kaji gaya hidup adik beradik mereka. Dan mereka boleh periksa semua akaun saya termasuk SPRM dan LHDN.”

Dr Mahathir berkata tindakan kerajaan itu merupakan satu penyalahgunaan kuasa.

“Mereka adalah kerajaan mereka ada kuasa untuk salah guna.”  

Sementara itu, Mukhriz Mahathir berkata serbuan pada 8 Ogos itu dilakukan ketika dia dan dua adik beradiknya tiada.

“Saya rasa mereka pastikan kami semua tiada (bila menjalankan serbuan). Mereka rampas dokumen dan fail,” katanya.

Mukhriz berkata, siasatan dijalankan LHDN itu adalah berhubung cukai yang tidak diisytiharkan pada 2011-2013.

“Kami diberitahu tidak perlu untuk failkan semula. Saya jangkakan kami sudah hantar beberapa dokumen untuk memenuhi beberapa permintaan seperti borang pengisytiharan cukai dan lain-lain,” kata Mukhriz.

Tanpa menuduh mana-mana pihak katanya ia mungkin ada kaitan dengan gesaan yang dibuat menteri Nazri Aziz dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyiasat keluarga Mahathir.

“Ia adalah ugutan politik. Semestinya. Ini berlaku seminggu selepas Nazri dan TPM mencadangkannya dan ia benar-benar berlaku jadi saya boleh kaitkannya.

“Dan kami jangkakan ia tidak akan berhenti. Gangguan ini akan berterusan. Ia bermotifkan politik,” katanya.

Mukhriz menambah beliau tiada masalah untuk memberi kerjasama dengan LHDN dan berkata mereka yang terbabit dalam serbuan itu hanya menjalankan tugas.

“Mereka adalah golongan profesiona yang menjalankan tugas. Mereka menerima arahan daripada mereka yang berkepentingan politik,” katanya. – 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen