SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menyoal siasat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dakwaan rasuah.
Zahid keluar dari bangunan agensi anti korupsi negara itu di Putrajaya selepas hampir 10 jam disoal hari.
Beliau memberitahu wartawan yang menunggu bahawa hari ini adalah hari terakhir soal siasat bagi mendapatkan maklumat terperinci tujuh kes terhadapnya.
“Jika maklumat yang saya beri tak cukup saya sedia datang balik beri keterangan kepada SPRM.
“Sejak tiga hari lepas saya beri kerjasama penuh. Saya tidak ada apa-apa hendak disembunyikan. Saya harap maklumat saya beri akan membantu menjelaskan perkara tertentu,” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu dipercayai sedang disiasat kerana rasuah berkaitan Yayasan Akal Budi dipengerusikannya.
Presiden Umno itu menghabiskan masa tiga hari minggu ini untuk disoal SPRM.
Zahid juga berharap kerjasama yang diberikannya kepada SPRM akan mengubah tanggapan masyarakat tentang siasatan pihak berkuasa.
“Jika sesiapa dipanggil untuk memberikan keterangan oleh SPRM, mereka wajar perlu kerjasama penuh kepada mereka (SPRM).”
Siasatan SPRM yang berlangsung itu dipercayai berkaitan dengan wang mencecah RM800,000 yang diseleweng dari Yayasan Akal Budi untuk membayar hutang kad kredit Zahid dan isterinya.
Anaknya Nurulhidayah Ahmad Zahid dan adik tirinya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi turut dipanggil untuk membantu siasatan. – 12 Oktober, 2018.
Komen