MENTERI kabinet tidak lagi dibenarkan membawa isteri atau suami pada lawatan rasmi kurang tujuh hari ke luar negara, sebahagian langkah jimat cermat kerajaan, kata Mohamed Azmin Ali.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata pasangan menteri bagaimanapun masih boleh mengikuti lawatan kerja pasangan mereka dengan perbelanjaan sendiri.
Katanya, langkah jimat cermat itu diputuskan oleh Kabinet baru-baru ini dan sudah pun berkuat kuasa.
“Kita putuskan kerana lawatan kerja itu bersifat kerja, dan ia tidak perlu melibatkan ahli keluarga khususnya isteri (atau suami).
“Kalau lawatan itu kurang tujuh hari maka menteri boleh pergi bersama dua pegawai sahaja dan isteri hanya boleh mengiringi menteri kalau lawatan kerja itu lebih 7 hari,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.
“Ini budaya kerja kita. Kita pergi bekerja, bukan untuk bercuti, beli-belah atau main golf,” katanya.
Menurut Azmin, beliau tahu ada menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini yang tiba tiga hari lebih awal sebelum jadual lawatan rasmi bermula dan balik tiga hari selepas ia berakhir.
Katanya menteri pergi main golf manakala isteri membeli-belah.
“Sekarang mereka perlu sampai pada hari persidangan bermula dan berlepas pada hari persidangan berakhir,” katanya.
“Ini jaminan kami dari kerajaan untuk jimatkan wang, kerana ia adalah wang rakyat,” tambahnya.
Sementara itu, menyentuh isu pengisytiharan harta ahli Parlimen, Azmin berkata beliau tidak tahu jumlah sebenar ahli yang sudah mengisytiharkan harta tetapi beliau kini berada pada fasa akhir proses tersebut.
Senarai perisytiharan harta ahli Kabinet dan Parlimen akan dipaparkan di portal SPRM pada 15 Oktober ini.
Sebelum ini dilaporkan yang pengisytiharan harta akan dibuat pada 1 Oktober tetapi ditangguh memandangkan semua ahli Kabinet dan Parlimen belum genap tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull.
Jelas Shukri, portal tersebut akan mendedahkan ahli Parlimen yang tidak mengisytiharkan harta mereka walaupun tiada undang-undang akan dikenakan terhadap mereka. – 12 Oktober, 2018
Komen