PUTRAJAYA akan memberi fokus pembangunan terhadap enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis, dalam pelan ekonomi yang akan dibentangkan tidak lama lagi, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Jelas beliau, fokus itu bertumpu pada enam negeri berkenaan kerana masih ketara jurang miskin kaya di negeri-negeri itu berbanding dengan negeri-negeri lain.
“Enam negeri itu akan diusahakan untuk dibangunkan. Wilayah-wilayah ini berhak mendapat (hasil) kekayaan daripada negara,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.
Menurut Azmin, fokus untuk enam negeri itu akan diperhalusi dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), minggu depan.
Kajian itu dijadual dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini.
Daripada enam negeri itu, hanya Kedah dan Sabah diperintah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), manakala Perlis di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang asalnya juga BN sementara Kelantan dan Terengganu ditadbir oleh PAS.
Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan juga berjanji akan melaksanakan konsep persekutuan yang sebenarnya.
September lalu, Putrajaya mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa kabinet untuk mengkaji kaedah pembayaran tuntutan royalti minyak kepada negeri-negeri, yang agihannya lebih saksama juga dijanjikan dalam manifestonya.
Sewaktu sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu bulan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga berjanji akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa negara terbentuk 55 tahun lalu.
Katanya, status Sabah dan Sarawak, yang berubah daripada rakan sekutu kepada negeri-negeri dalam Malaysia, akan dikembalikan selepas siap kajian ke atas MA63.
Dalam pada itu, Azmin berkata ketirisan dana kerajaan sering berlaku akibat agihan yang tidak bertanggungjawab.
“Sebelum ini (kerajaan lama), apabila ada inisiatif baru, jabatan baru ditubuhkan. Dana itu habis digunakan untuk ubah suai pejabat, pengurusan, dan membeli kereta-kereta mewah,” tambahnya. – 12 Oktober, 2018
Komen