KUMPULAN hak asasi kanak-kanak hari ini memuji keputusan Pakatan Harapan untuk membenarkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk belajar di sekolah kerajaan bermula tahun depan, namun menggesa kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan kepada anak pendatang dan pelarian.
Aktivis hak asasi kanak-kanak Dr Hartini Zainuddin dari Yayasan Chow Kit memuji pengumuman kerajaan sebagai langkah menyediakan saluran betul bagi melindungi kanak-kanak menerusi pendidikan.
Bagaimanapun, Dr Hartini yang “gembira” dengan berita itu berkata, kerajaan juga perlu melibatkan anak-anak pendatang dan pelarian tanpa status kerakyatan di negara ini.
“Saya rasa semua kanak-kanak perlu diberi akses dan sumber pendidikan yang sama rata,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kumpulan pendidikan PAGE turut memuji keputusan kerajaan, dan mengatakan ia “menuju ke arah yang betul terutamanya untuk kanak-kanak warga Malaysia tanpa dokumen”.
“Mereka tidak sepatutnya dihalang mendapat pendidikan hanya kerana mereka kurang dokumen pengenalan,” kata setiausaha agung PAGE, Tunku Munawirah Putra.
“Menjadi harapan untuk pendidikan membantu kanak-kanak ini dari terus dibelenggu kemiskinan, yang menjadi punca utama masalah sosial terutamanya jenayah seperti kecurian, rompakan, jenayah berkaitan dadah yang akan membawa mereka kepada jenayah lebih berat dalam jangka masa panjang.”
Beliau juga turut menggesa kerjaan untuk mempertimbangkan hak pendidikan kepada anak-anak pendatang dan pelarian.
“Kami harap di masa akan datang, kanak-kanak tanpa dokumen ini (anak pendatang, pelarian) turut diberikan peluang yang kita ada sumber untuk salurkan kepada mereka,” katanya.

“Memberi pendidikan kepada pelarian atau anak pendatang meningkatkan diri mereka adalah langkah kebajikan. Ini akan memberi mereka persediaan untuk langkah seterusnya dalam hidup mereka, tanpa mengira secara domestik atau di tanah asing.”
Terdahulu hari ini, timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching mengumumkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan kini dibenarkan menyertai sekolah kerajaan bermula tahun hadapan hanya dengan menunjukkan sijil lahir mereka.
Beliau berkata, mereka yang tiada dokumen juga masih bleh bersekolah tetapi perlu menyediakan dokumen yang perlu dalam tempoh dua tahun.
Selain sijil lahir, kata Teo kanak-kanak ini boleh memberikan sama ada sijil anak angkat sekiranya mereka diambil sebagai anak angkat atau perintah mahkamah.
Pengerusi Voice of the Choldren Sharmila Sekaran berkata ia merupakan “langkah positif tanggungjawab negara kepada kanak-kanak”.
Beliau berkata setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, tanpa mengira kewarganegaraan, dan menggesa kerajaan menyatakan punca masalah tiada kewarganegaraan ini sebagai “tiada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau tidak didaftarkan atas pilihan atau tindakan mereka”.
“Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah kanak-kanak tanpa kewargaegaraan dan tiada dokumen, dan memastikan kanak-kanak ini dapat hak asasi seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sharmila berkata kerajaan perlu mengesahan dan menyiarkan secara tepat apa dokumen yang diperlukan, kerana kebanyakan kanak-kanak tanpa dokumen ini tidak dapat menyediakan sijil kelahiran atau apa-apa dokumen rasmi.
Katanya, kerajaan juga perlu menyatakan dengan jelas prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu dan mengelakkan sebarang kekeliruan di pihak kementerian atau sekolah. – 12 Oktober, 2018
Komen