CYBERJAYA akan kembali memenuhi fungsi asalnya sebagai hub pembangunan ekonomi digital seperti digagaskan ketika pembukaan bandar satelit itu lebih dua dekad lalu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Menurut Azmin, beliau sudah mendapat arahan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan Cyberjaya kembali ke landasan asalnya dan bukan lagi menjadi bandar pembangunan hartanah seperti sekarang.
“Cyberjaya kini menjadi pembangunan hartanah, itu sudah lari daripada matlamat asalnya untuk menjadi hub IT (teknologi maklumat).
“Arahan daripada PM, untuk lihat semula pembangunan Cyberjaya balik kepada asal, tarik pemain-pemain industri teknologi,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.
Jelas Azmin, Cyberjaya tidak lahir sebagai bandar teknologi seperti Lembah Silikon di Amerika Syarikat kerana motif asalnya telah berubah, tidak seperti yang dibayangkan pada penubuhannya semasa pentadbiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri kali pertama sebelum ini.
Bandar Cyberjaya ditubuhkan pada Mei 1997 sebagai sebuah bandar pintar yang turut menjadi tulang belakang kepada Koridor Raya Multimedia (MSC).
Kawasan dekat Sepang yang asalnya ladang kelapa sawit itu kemudian berubah wajah sehingga menarik pemain-pemain industri luar negara seperti Nokia, Motorola, dan HSBC.
Cyberjaya juga mahu ditonjolkan sebagai pusat pendidikan dengan menempatkan antara lain Universiti Multimedia sebagai pusat kajian MSC dan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing serta beberapa institusi pengajian tinggi termasuk cawangan universiti luar negara.
Media sebelum ini pernah melaporkan Cyberjaya gagal menjadi bandar yang diharapkan kerana kurang penguatkuasaan dan perancangan bandar yang lemah. – 12 Oktober, 2018
Komen