LEBIH ramai peguam menyuarakan sokongan kepada desakan bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan supaya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dirombak bagi memastikan proses pelantikan hakim tertinggi bebas daripada campur tangan politik.
Ambiga sebelum ini menggesa supaya JAC dijadikan badan bebas berpelembagaan bagi menyelia pelantikan dan kenaikan pangkat hakim kanan.
Katanya, penglibatan Parlimen dalam pelantikan hakim adalah satu bentuk campur tangan yang mencabuli doktrin pengasingan kuasa tiga cabang kerajaan- eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Gesaan itu dikeluarkan selepas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad Rabu lepas yang berkata jawatankuasa Parlimen akan menentukan sama ada calon hakim layak atau tidak untuk jawatan yang ditawarkan.
Ahli Majlis Peguam dan peguam hak asasi Andew Khoo berkata beliau “sangat pasti” akan menyokong desakan supaya Perlembagaan dipinda bagi membolehkan JAC menjadii badan bebas berpelembagaan.
“Ya, sangat pasti. Bagaimanapun, sifat dan komposisi JAC juga perlu dirombak,” katanya.
“Ia perlu lebih luas, mencakupi dan inklusif dalam aspek perwakilan, ia tidak hanya boleh terdiri daripada hakim sahaja sebagai ahli, juga perlu ada majoriti rakyat biasa dan prosidingnya perlu telus,” katanya memetik organisasi setaraf JAC di UK dan Afrika Selatan sebagai model yang boleh dicontohi.
JAC ditubuhkan pada 2009 untuk memilih calon hakim bagi pertimbangan perdana menteri yang mempunyai kuasa muktamad dalam pelantikan hakim mahkamah tinggi.
Suruhanjaya itu kini dianggotai oleh ketua hakim negara yang juga pengerusi, presiden Mahkamah Rayuan, ketua hakim Malaya, hakim besar Sabah dan Sarawak serta hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik perdana menteri.
Pada 18 September lalu, JAC menamakan empat ahli baharunya, termasuk tiga bekas hakim. Lantikan terbaru itu adalah bekas hakim Mahkamah Rayuan- Mohd Hishamudin Md Yunus, Linton Albert dan Mah Weng Kwai- serta pakar undang-undang perlembagaan Universiti Malaya Profesor Shad Saleem Faruqi.
Mereka akan berkhidmat selama dua tahun sehingga 3 September 2020.
Dr Mahathir sudah bersetuju dengan lantikan itu yang dibuat berdasarkan Seksyen 5 (1) (f) Akta JAC 2009. – 12 Oktober, 2018.
Komen