Aktivis dedah Anwar tak bayar saman, guna pengiring polis 


Looi Sue-Chern

Siti Kassim berkata pengundi perlu mengikut naluri mereka ketika membuang undi pada pilihan raya Port Dickson esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2018

AKTIVIS Siti Kasim dan Mujahidin Zulkifli sedang memandu di Port Dickson apabila pengiring polis memberi isyarat kepada mereka dan pengguna jalan raya lain termasuk di lorong bertentangan untuk berhenti. 

Mereka merakam video situasi itu, yang kemudian dimuat naik ke laman Facebook Siti sejak malam tadi. 

“Siapa dia (mereka hentikan trafik untuk siapa)? Semua orang kena berhenti..mana dia? Tengok plet number dia,” kata Siti dalam video berkenaan. 

“WMK 6. Saya rasa ia (Toyota) Vellfire,” kata Mujahidin ketika video berkenaan memaparkan beberapa kenderaan lalu diiringi kenderaan polis. 

“Ini bukan penyalahgunaan kuasa?” kata Siti dalam video berkenaan. 

Saman trafik tidak berbayar

Semakan oleh dua aktivis berkenaan mendedahkan WMK 6 didaftarkan atas nama bakal perdana menteri Anwar Ibrahim, yang berkempen untuk memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya kecil Port Dickson yang akan memberi laluan kepadanya untuk kembali ke Parlimen. 

Nombor MyKad pemilik kenderaan itu sepadan dengan milik Anwar. Rekod juga menunjukkan pemandu kenderaan WMK 6 melanggar sejumlah peraturan jalan raya. 

Siti kemudian memuatnaik paparan skrin emel yang diterima Mujahidin berhubung saman yang dikeluarkan ke atas pemilik WMK 6. Emel itu menyatakan pemilik berkenaan memiliki 22 saman yang belum dibayar berjumlah RM4,810 sehingga semalam. 

Saman itu bagi kesalahan seperti gagal mematuhi isyarat trafik dan had laju adalah dikenakan beberapa tahun lalu. 

Hari ini, The Star Online turut memetik Mujahidin sebagai berkata Anwar mempunyai 57 saman polis yang masih belum dibayar berjumlah RM8,730 dari Februari 1999 hingga Mac 2016 kerana memandu melebihi had laju, menghalang lalu lintas dan melanggar lampu isyarat merah. 

Pengkhianatan

Dalam satu lagi video berasingan di Facebooknya malam tadi, Siti dan Mijahidin turut berkongsian penilaian mereka terhadap pilihan raya kecil Port Dickson, yang diadakan untuk Anwar kembali ke Parlimen. 

“Secara dasarnya, ia satu pengkhianatan kepada pengundi yang tidak menjangkakannya. Ia merupakan manipulasi sistem demokrasi,” kata Mujahidin yang juga pengarah urusan New Malaysia Times. 

Beliau turut menyatakan apa yang didakwa sebagai melanggar peraturan pilihan raya, seperti menggunakan kem tentera, pergi ke masjid yang sepatutnya menyampaikan tazkirah dan melancarkan portal e-tuisyen secara percuma. 

Mujahidin juga mendakwa portal tuisyen PD itu yang dikatakan ditaja oleh Anwar adalah “penjenamaan semula” daripada laman web  EZlearn2U.my sebuah laman web yang dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri Perak, Yayasan Perak dan lain-lain. 

Katanya, sekiranya hubungan dengan kerajaan Perak adalah benar, ia merupakan kesalahan pilihan raya kerana berkempen menggunakan jentera kerajaan. 

Mujahidin juga berkata sekiranya Anwar mahu pembaharuan Parlimen, beliau perlu menjadi senator dan perbaiki Senat yang didominasi Barisan Nasional. 

“Mengapa beliau tidak sabar untuk ke Dewan Rakyat?”

Beliau juga menyatakan bukan rakyat yang berjanji untuk menjadikan Anwar perdana menteri seterusnya, tetapi ahli politik. 

“Saya harap esok, rakyat akan menujukkan sekali lagi yang kita berkuasa, bukan ahli politik yang merasakan mereka boleh mempermainkan sistem dan pengundi.” 

Undi dengan naluri

Siti, yang lantang mengkritik “langkah Port Dickson” sejak awal, turut menggesa pengundi untuk tanya pada diri mereka mengapa Anwar terdesak untuk berada di Parlimen. 

“Kita perlu fikir dengan bijak. Berikan kami kejutan (keputusan pilihan raya). Tunjukkan kepada mereka kuasa rakyat, yang mereka tidak boeh mengawal kita. Kita, rakyat adalah bos.”

Siti turut menggesa pengundi agar mengikut naluri mereka ketika membuang undi esok. 

Beliau menyelar Anwar kerana pergunakan rakyat yan menyokong PH dan memperjuangkan hak asasi manusia, menggelar mereka “super liberal”.

“Anwar mungkin ada sokongan kuat seperti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan (Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan) Dain Zainuddin. 

“Saya tahu ramai antara kita yang suka pada Tun (Dr Mahathir). Tetapi jangan fikir kamu mesti undi Anwar kerana Tun. Jangan diperbodohkan dengan apa yang Pakatan Harapan tunjukkan. Kita tidak tahu politik di sebaliknya. 

Pada pilihan raya kecil esok, Anwar akan menentang calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon bebas - Stevie Chan, Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen. – 12 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen