Zahid harap siasatan SPRM berakhir hari ini


Noel Achariam

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi keluar dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 12.25 tengahari selepas disoal selama tiga jam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Oktober, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berharap sesi soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung tuduhan rasuah berakhir hari ini.

Zahid yang keluar dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 12.25 tengahari selepas disoal selama tiga jam berkata, pegawai SPRM membenarkannya menunaikan solat Jumaat.

“Sesi rakaman kenyataan saya dihentikan dan akan diteruskan selepas solat,” katanya.

Apabila ditanya sama ada soal siasat akan berakhir hari ini, Zahid berkata “harap begitulah”.

Bekas timbalan perdana menteri itu kembali ke ibu pejabat SPRM hari ini untuk disiasat berhubung tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan organisasi amal dipengerusikannya.

Ia adalah kali ketiga dalam minggu ini Zahid dipanggil oleh SPRM berhubung kes Yayasan Akal Budi, sebuah yayasan yang dikendalikan keluarganya.

Turut dilaporkan RM800,000 didakwa disalahgunakan daripada yayasan untuk membayar bil kredit kad Zahid dan isteri.

Anak perempuannya Nurulhidayah dan adik Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi juga dipanggil untuk membantu siasatan. – 12 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen