SEPANJANG 15 tahun lalu, M. Kalaichelvan sentiasa rasa bimbang bila melawat bapanya di penjara, takut ia akan menjadi lawatan terakhir melihat bapanya masih bernyawa.
Bapa Kalaichelvan menjalani hukuman penjara di Taiping atas kesalahan membunuh, walaupun keluarganya percaya bapanya tidak bersalah. Di atas sabitan tuduhan itu, bapanya dijatuhi hukuman mati mandatori.
“Kami tidak tahu bila beliau akan menjalani hukuman itu. Setiap hari kami risau.
“Sebab itu keluarga saya akan melawat bapa setiap minggu atau dua minggu sekali. Anda tidak akan tahu bila hari itu akan akhirnya tiba,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kalaichelvan, 28, berkata beliau sangat gembira mendengar berita yang kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi semua kesalahan.
“Ibu saya belum tahu lagi tetapi dia akan gembira,” katanya.
Bapa Kalaichelvan akan menjadi salah seorang daripada 1,200 banduan yang sedang menanti pelaksanaan hukuman mati di penjara di seluruh negara, di mana mereka mungkin terlepas daripada hukuman itu dengan adanya pengumuman Putrajaya, baru-baru ini.
Pada Rabu, menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman itu pada sidang Parlimen akan datang yang akan bermula Isnin depan.
Beliau berkata moratorium dilaksanakan sehinggalah hukuman mati dimansuhkan.
Kalaichelvan berkata keluarganya berharap akan dapat membuat rayuan untuk pembebasan awal bapanya.
“Saya masih darjah 6 ketika bapa saya masuk penjara. Hanya saya dan adik yang habis sekolah. Keluarga kami tidak cukup duit untuk sambung belajar.
“Saya terus kerja selepas tamat tingkatan lima untuk membantu bayar hutang RM30,000 yang kami ambil untuk membela bapa di mahkamah,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu gudang di Singapura.
“Mungkin kami akan dapat merasa kepulangan bapa semula. Dia pun sudah bertahun-tahun menjalani hukuman di penjara,” katanya.
Berita pemansuhan hukuman mati juga memberi kelegaan kepada seorang ibu berusia dari Sungai Lembing, Pahang di mana anak lelakinya juga sedang menanti pelaksanaan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah.
“Sudah 13 tahun. Umurnya 25 tahun ketika dipenjarakan…seorang anak muda yang melakukan kesilapan,” kata Yip, 68.
“Saya gembira. Saya pasti anak saya juga sangat gembira mendengar berita ini. Selepas bertahun-tahun, kini kami kembali rasa ada harapan.
“Bukannya dia boleh bebas dari penjara pun. Tetapi mungkin satu hari dia akan dapat keluar,” katanya.
Peguam dan aktivis hak asasi manusia Charles Hector berkata pengumuman kerajaan Pakatan Harapan itu memberi kegembiraan dan harapan kepada ibu bapa, anak, pasangan dan waris kepada 1,267 banduan yang sedang menanti pelaksanaan hukuman mati terhadap mereka.
“Kegembiraan ibu bapa, anak dan waris mereka ini, yang tidak akan lagi digantung sampai mati…mereka kini akan hidup,” katanya yang juga koordinator untuk Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET).
Pengerusi Getha Bodhi Care Centre Lam Kai Cheong, satu NGO berpangkalan di Kuantan yang menjalankan program untuk banduan termasuk mereka yang akan menjalani hukuman mati, berkata banduan yang bakal dihukum gantung akan mengalami kemurungan dan keresahan, pada hari-hari terakhir hidup mereka.
“Setiap banduan sedang menanti hukuman mati yang saya temui sedih, murung. Selalunya mereka akan begitu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Tetapi saya fikir mereka akan gembira dengan berita ini. Inilah satu-satunya harapan mereka.”
Lam berkata kerajaan mengambil satu langkah besar terhadap hak asasi manusia dan kemanusiaan. – 12 Oktober, 2018.
Komen