KEMELUT antara MMC-Gamuda dan Putrajaya tidak akan sampai ke mahkamah walaupun kerajaan membatalkan kontrak kerja bawah tanah projek terowong Transit Aliran Massa Jajaran 2 (MRT2) kendalian syarikat itu, kata peguam.
Putrajaya membatalkan kontrak itu selepas syarikat tersebut enggan mengurangkan kos projek sebanyak RM2 bilion.
Beberapa peguam berkata klausa “kepentingan negara” biasanya ada dalam kontrak kerajaan yang membolehkan kerajaan menilai semula kontrak berdasarkan keperluan semasa mengikut perkembangan projek.
“Situasi ini biasanya berlaku apabila kontrak melibatkan kerja-kerja yang ada kaitan dengan kepentingan awam.
“Tanpa perlu menyatakan secara terperinci, kerajaan boleh menamatkan kontrak jika mendapati kerja-kerja pembinaan tidak mengikut syarat yang ditetapkan,” kata peguam komersial Abraham Au.
“Saya pasti kerajaan terdahulu yang dipimpin Barisan Nasional menyediakan klausa itu untuk memantau Gamuda. Oleh itu tidak penting sama ada kerajaan sekarang atau kerajaan sebelum ini membatalkannya.”
Ahad lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan pembukaan tender antarabangsa yang baharu susulan pembatalan kontrak MMC-Gamuda untuk kerja pembinaan bawah tanah MRT2 rundingan selama dua bulan untuk mengurangkan kos.

MMC-Gamuda kekal memegang kontrak untuk menyiapkan kerja pembinaan atas tanah laluan MRT yang menghubungkan Sungai Buloh ke Serdang dan Putrajaya.
Susulan pengumuman pembatalan itu, MMC-Gamuda mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu tawaran daripada kementerian apabila mengetahui kementerian membatalkan kontrak tersebut.
Syarikat itu mendakwa kira-kira 20,000 pekerja mungkin kehilangan kerja ekoran keputusan kerajaan. Ia turut mempersoalkan kelayakan perunding kejuruteraan bebas yang dilantik kerajaan bagi menilai semula kos projek itu.
Kemelut itu memaksa campur tangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula keputusan untuk membatalkan kontrak tersebut selepas mengambil kira kesan terhadap nasib pekerja yang terlibat.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata satu jawatankuasa Kabinet dibentuk untuk meneliti semula kontrak MMC-Gamuda bagi pelaksanaan projek pembinaan laluan bawah tanah MRT2.
“(Keputusan) tidak lama lagi kerana kita tidak mahu menghentikan projek itu. Kita akan berbincang selepas mengkaji semula projek dan membuat keputusan secepat mungkin,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan pada China Conference di Kuala Lumpur.

Kemelut tersebut mencetuskan kemarahan pekerja MMC-Gamuda yang menghantar surat dan mengeluarkan komen di media sosial, menyatakan kesal mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu.
Au yang tidak mewakili mana-mana pihak percaya kerajaan tidak bertindak di luar batasan undang-undang.
“Bagaimanapun kerajaan hari ini perlu membayar pampasan kepada Gamuda atas kerja pembinaan yang sudah siap berdasarkan tuntutan yang munasabah.”
“Gamuda juga menerima tawaran kerajaan untuk mengurangkan kos berdasarkan kontrak ‘turnkey’ iaitu kontrak yang disediakan oleh kontraktor, bukannya kerajaan, dan menjadi tanggungjawab kontraktor untuk menyatakan spesifikasi yang memenuhi syarat. Secara teknikalnya, kerajaan boleh berbuat demikian.”
Secara prinsipnya, sebarang kontrak selalu terbuka untuk dipinda, dibatalkan, dirunding atau dikaji semula, kata peguam korporat dan komersial Fahda Nur Ahmad Kamar.
Kebiasaannya kontrak kerajaan mempunyai kelebihan, katanya.

“Berdasarkan pengalaman saya, jika anda membuat kontrak dengan kerajaan, anda perlu bersetuju dengan syarat yang ditetapkan,” katanya.
“Kebiasaannya kontrak kerajaan akan menetapkan klausa yang membolehkan mereka membuat keputusan terbaik untuk kepentingan nasional, tetapi saya tidak tahu tentang kontrak ini (MMC-Gamuda), saya tidak membacanya.”
Au percaya tidak adil buat pekerja untuk menyalahkan kerajaan kerana membatalkan kontrak tersebut.
“Mereka digaji oleh Gamuda, bukannya kerajaan. Hak mereka terletak di bawah kontrak untuk berkhidmat dengan Gamuda. Mereka boleh menuntut pampasan dengan Gamuda jika kontrak mereka dibatalkan lebih awal.
“Jika tiada pampasan bermakna Gamuda memberikan kontrak kerja yang tidak menawarkan pampasan jika berlaku kemelut seperti hari ini.” – 12 Oktober, 2018.
Komen