CHINA bukan bersikap imperialis terhadap Malaysia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, kerana republik itu sudah berdagang dengan aman dengan wilayah ini sejak zaman kerajaan Melayu Melaka enam dekad dulu lagi.
Apa yang terjadi sebaliknya ialah Melaka dijajah oleh kuasa dari Barat, kata Azmin.
“Pada zaman dahulu, ketenteraan mungkin digunakan oleh sesetengah kuasa terhadap negara yang lemah. Namun, China berdagang dengan Melaka selama dua abad secara aman.
“Sekiranya ada sebarang niat imperialis, China sudah menjajah Melaka sejak dulu lagi. Tapi sebaliknya, kuasa Barat yang berbuat demikian,” katanya ketika berucap di China Conference anjuran South China Morning Post di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, wujud kebimbangan terhadap kebanjiran pelaburan langsung asing (FDI) dari China yang menyebabkan banyak tanah di negara ini dimiliki pihak asing dan merugikan syarikat tempatan.
“Oleh itu, hubungan dua hala antara China dan Malaysia perlu dilihat dari segi sejarah panjang kedua-dua negara yang tidak mencerminkan peperangan atau penjajahan, tetapi dari segi perdagangan yang kukuh dan pertukaran budaya,” katanya.
Beliau berkata terdapat banyak syarikat Malaysia yang boleh berjaya di China dan perkara ini akan diteruskan.
Katanya, ini supaya negara dapat mengadakan kerjasama strategik dengan lebih banyak syarikat dari China, sekali gus membolehkan Malaysia mempelajari banyak perkara daripada mereka.
“Saya rasa mesej yang ingin disampaikan buat masa ini adalah kerana (sebelum ini) terdapat banyak kekeliruan terhadap mereka (China) selepas kami (Pakatan Harapan) mengambil-alih (negara), selepas pilihan raya umum.
“Tetapi bagi pihak kerajaan, saya ingin beri komitmen bahawa kami komited untuk memperkukuhkan kerjasama ini bersama China dan kami percaya kita boleh banyak mempelajari daripada syarikat China,” katanya kepada pemberita selepas berucap di persidangan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaburan dari semua negara adalah penting bagi Malaysia dan tidak semestinya negara hanya perlu kekal kepada polisi pandang ke Timur sahaja.
Jelasnya, polisi tersebut sebelum ini dimulakan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menyandang jawatan yang sama buat kali pertama pada tahun 1981-2003. – 11 Oktober, 2018.
Komen