SEBUAH jawatankuasa Kabinet akan bermesyuarat segera untuk meneliti kontrak kerja bawah tanah projek Transit Aliran Massa Jajaran 2 (MRT2) yang dikendalikan oleh MMC-Gamuda, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Kata Azmin, jawatankuasa terdiri daripada empat kementerian itu akan bermesyuarat tidak lama lagi kerana Putrajaya tidak mahu projek tersebut dihentikan.
“Tidak lama lagi (akan mesyuarat) kerana kita tidak mahu hentikan projek tersebut. Kita mahu bincangkannya terlebih dahulu dan menelitinya serta buat keputusan secepat mungkin,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur, hari ini.
Azmin mengulas laporan The Star hari ini bahawa Kabinet sudah menubuhkan sebuah jawatan empat menteri terdiri daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan beliau sendiri.
Jawatankuasa itu dibentuk selepas MMC-Gamuda sedia berbincang dengan kerajaan untuk mengurangkan kos projek itu.
Azmin ditemui wartawan selepas berucap di China Conference anjuran South China Morning Post.
“Kita akan membincangkannya secara keseluruhan berhubung projek tersebut dari segi kos, reka bentuk, perincian projek dan tentunya kita mahu lindungi pekerja.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak yang hilang pekerjaan,” tambah Azmin.
Dua hari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan menyemak semua keputusannya untuk memulakan proses bidang tender baharu bagi kerja bawah tanah projek MRT2 ITU.
Beliau berkata demikian selepas kontraktor MMC-Gamuda mendakwa 20,000 pekerjanya boleh hilang kerja dan pekerja yang terkesan meluahkan kekecewaan mereka di media sosial.
Azmin menjelaskan, memandangkan jumlah hutang negara yang besar sehingga mencecah RM1trillion, kerajaan mengambil keputusan untuk menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Maka kita mahu pelaburan dalam infrastruktur yang produktiviti, teknologi, pendidikan. Itu mesti diteruskan sebab kita tak boleh hentikan semua projek sebab ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi domestik kita,” katanya. – 11 Oktober, 2018.
Komen