Lembaga baharu Finas akan diumumkan tidak lama lagi, kata Gobind


Asila Jalil

BARISAN lembaga baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan diumumkan dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian usaha menstruktur semula perbadanan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata ahli lembaga baharu akan meneruskan proses meneliti semula semua operasi yang dilakukan Finas dan proses itu akan dimasukkan ke dalam laporan audit.

“Jika kita mendapati wujud masalah yang memerlukan perhatian polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), satu laporan polis atau laporan berkaitan akan dibuat,” katanya.

SPRM kini menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna dana berjumlah RM25 juta oleh Finas.

Gobind berkata pertukaran ketua pengarah Finas dan timbalannya tiada kena mengena dengan siasatan tersebut.

Beliau berkata perubahan itu dibuat sebagai pelan penstrukturan semula yang turut melibatkan untuk membawa masuk kepimpinan baharu ke syarikat itu.

“Pertukaran ketua pengarah dan timbalannya tiada kaitan dengan sebarang siasatan (SPRM).

“Ini merupakan proses penstrukturan dalaman. Saya tidak berkata mereka terlibat dalam siasatan itu, seperti yang dikatakan sebelum ini, biar undang-undang yang menentukan,” katanya.

Gobind Singh mengulas tentang penstrukturan semula Finas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.

Timbala Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Shakib Ahmad Shaki dilantik sebagai pemangku ketua pengarah menggantikan Fauzi Ayob.

Manakala Timbalan Setiausaha Jabatan Kewangan kementerian itu, Fairul Azida Shahabudin dilantik menjadi pemangku timbalan ketua pengarah bagi menggantikan Azmir Saifuddin Mutalib.

Gobind berkata barisan baharu lembaga pengarah diperlukan bagi memberi idea baharu dalam memastikan Finas kekal relevan dalam industri itu yang kini membangun dalam dunia digital.

Ditanya mengenai siasatan tersebut, Gobind berkata ia melibatkan beberapa akaun dan dua perkara yang diteliti sebagai isu kewangan yang serius selain sistem kewangan yang dipraktikkan di Finas.

Sumber SPRM sebelum ini mendakwa seorang pegawai kanan Finas disyaki terlibat dalam penyelewengan dana Finas yang diluluskan untuk pelaksanaan projek di bawah program 1Malaysia Negaraku.

Terdapat kira-kira 10 projek dan siasatan awal mendapati pegawai kanan itu terlibat dalam hampir kesemua projek tersebut. – 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen