Labuan mahu lebih autonomi berhubung pembangunan, kata ahli Parlimen


Jason Santos

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr (kiri) menerima borang permohonan Rozman Isli untuk menyertai Warisan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018

PENDUDUK Labuan mahu menentukan sendiri masa depan pembangunan pulau itu, kata ahli Parlimennya Rozman Isli yang keluar Umno hari ini untuk menyertai Parti Warisan Sabah.

Bekas ketua Umno Labuan itu berkata ini boleh dicapai dengan kawasan parlimen itu sekarang berada dalam parti yang menerajui negeri. 

“Ia merupakan detik bersejarah kepada kita di Labuan, tetapi kita harapkan lebih fleksibel dan mahu suatu kuasa dan kawalan berhubung masa depan pembangunan pulau ini,” katanya selepas mengumumkan menyertai Warisan hari ini. 

Turut hadir timbalan presiden Warisan Darell Leiking, naib presiden Junz Wong, setiausaha agung Loretto Padua Jr dan ketua koordinator Warisan Labuan 
Salim Abdul Rahman. 

Sementara itu, Leiking melihat penyertaan Rozman ke Warisan seperti meletakkan semula persoalan melibatkan Sabah dan Labuan. 

Beliau berkata terdapat tiga entiti yang membentuk negeri Borneo Malaysia - Sarawak, Labuan dan Sabah. 

“Jadi kini dengan adanya Labuan, ia melengkapkannya,” katanya. 

Leiking berkata Sabah dan Labuan tidak boleh dipisahkan kerana kedua-dua rakyatnya mempunyai hubungan dari segi budaya dan sosial, tetapi penduduk Labuan boleh berdiri sendiri. 

“Menteri Wilayah Persekutuan akan mengadakan lawatan ke Labuan dan kita, pemimpin Warisan, akan meminta menteri memberi lebih perhatian terhadap pembangunan Labuan dan untuk desentralisasi dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan pulau ini,” katanya. 

Sementara itu Rozman menyatakan apabila berita beliau mahu meninggalkan Umno tersebar, beberapa ahli bahagian Labuan melawatnya dan mengucapkan selamat. 

“Tidak, mereka tidak memujuk saya untuk kekal. Saya juga tidak ditawarkan sebarang ganjaran untuk menyertai Warisan. 

“Selepas membuat pertimbangan sebaiknya dan mendengar pandangan semua pihak, saya buat keputusan ini. 

“Jadi apabila ahli Umno tahu mengenainya dan ada di antara mereka memberitahu saya yang saya mengambil langkah yang betul. Bukan sahaja mereka, rakan-rakan dari Pakatan Harapan juga mengatakan saya membuat keputusan yang betul,” kata Rozman, menambah Umno bahagian Labuan masih kekal walaupun beliau meninggalkan parti. 

Beliau berkata jawatannya sebelum ini akan diambil alih oleh timbalannya, dan berkata Warisan memerlukan Umno sebagai pembangkang untuk semak mereka. – 11 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen