Panel dibentuk pilih pengganti Azman Mokhtar di Khazanah


Jahabar Sadiq

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Azman Mokhtar mula mengambil alih pengurusan Khazanah pada Jun 2004 dan menerajui dana pelaburan utama negara itu dengan jayanya sehingga kini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.

PANEL sudah menilai beberapa orang calon untuk menggantikan Azman Mokhtar sebagai pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad yang dijadualkan berundur pada 2019, antara calon itu termasuklah Arul Kanda Kandasamy yang kini mengetuai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut sumber industri.

The Malaysian Insight difahamkan yang Arul adalah salah seorang daripada dua calon luar yang kini dipertimbangkan untuk menerajui dana pelaburan asing negara itu, calon luar kedua ialah Tengku Zafrul Aziz yang kini mengetuai kumpulan perbankan kedua terbesar negara, Kumpulan CIMB yang merupakan salah satu daripada unit Khazanah.

“Panel sudah dibentuk untuk menilai calon yang akan mengambil alih daripada Azman yang kontraknya dijangka tamat dalam masa dua tahun lagi,” satu sumber memberitahu The Malaysian Insight.

Calon lain yang berasal daripada kepimpinan Khazanah kini yang turut disenarai pendek untuk menggantikan Azman termasuklah Pengarah Eksekutif Hisham Hamdan, Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Panel itu akan melaporkan hasil penelitian kepada Pengerusi Khazanah, Najib Razak yang juga merupakan perdana menteri dan menteri kewangan.

“Tidak banyak perbezaan antara calon jadi panel pemilih memulakan tugas mereka lebih awal bagi memastikan pengganti itu mempunyai masa untuk menggantikan (dengan baik) Azman,” kata sumber lain.

Arul Kanda Kandasamy yang mengawal selia pelan rasionalisasi 1MDB dikatakan salah seorang calon yang dipertimbangkan untuk menggantikan Azman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.

Azman merupakan pengarah urusan Khazanah sejak Jun 2004, selepas dia meninggalkan jawatan di sebuah syarikat perunding BinaFikir Sdn Bhd yang turut diasaskannya pada 2002.

BinaFikir merancang program “wide asset unbundling” (WAU) untuk Malaysia Airlines selepas kerajaan membeli kembali syarikat penerbangan negara yang sedang mengalami kerugian ketika itu daripada tokoh perniagaan Tajuddin Ramli. Syarikat itu sudah melalui beberapa perubahan pengurusan dan “dijamin keluar” sejak itu dan kini sudah diswastakan.

Tetapi Azman menggerakkan Khazanah dan mencapai lebih banyak kejayaan, mengubah dana pelaburan utama negara itu yang mempunyai aset bernilai RM141.1 bilion pada akhir 2016 ketika ia mencatatkan keuntungan pro-forma sebelum cukai berjumlah RM1.55 bilion.

Khazanah kini memiliki kepentingan dalam hampir 70 syarikat termasuklah syarikat gergasi negara seperti Kumpulan CIMB, Telekom Malaysia, Kumpulan Axiata, Tenaga Nasional, TIME dotcom, Malaysia Airports, IHH Healthcare dan Kumpulan UEM.

Sumber turut menegaskan yang sesiapa sahaja yang menggantikan Azman menggalas tanggungjawab besar untuk meneruskan kejayaan Khazanah dan bakal pemegang jawatan itu perlulah calon yang mengetahui tentang gaya pengurusan dan operasi Khazanah.

Tetapi satu sumber lain memberitahu yang Arul Kanda turut dipertimbangkan untuk jawatan itu selepas dia mengawalselia pelan rasionalisasi 1MDB yang dilaksanakan setelah mengambil alih pengurusan syarikat sarat hutang negara itu pada Januari 2015. Dia berjaya menjual tanah dan aset lain untuk menjana pendapatan bagi membayar hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion.

1MDB masih berhutang AS$1.205 bilion dengan dana pelaburan asing Abu Dhabi di bawah penyelesaian arbitarasi kerana proses rasionalisasi syarikat itu kini terhalang dengan tertundanya projek Bandar Malaysia.

Antara calon lain untuk jawatan pengurusan tertinggi Khazanah itu ialah Tengku Zaiful, seorang jurubank pelaburan yang kini bersama CIMB sejak Januari 2016 selepas meninggalkan Maybank Investment Bank.

Tiga calon lain yang disebut-sebut adalah mereka yang sedang berada dalam Khazanah dan dianggap calon pilihan kerana sudah bekerja bersama Azman sejak tempoh transisi Khazanah yang menyaksikan pengurusan profesional mengambil alih dana pelaburan negara itu daripada pengurusan penjawat awam.

Tidak dapat diketahui bilakah pemilihan akhir akan dilakukan tetapi ia mungkin berlaku seawal 2018 bagi memastikan peralihan lancar yang akan berlaku setahun kemudian apabila Azman melangkah keluar daripada pejabat selepas menggalas tugas berat sejak 15 tahun lalu. – 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen