Hampir separuh rakyat Malaysia ada masalah kesihatan mental, kata Dr Wan Azizah 


Asila Jalil

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap selepas merasmikan program Hari Kesihatan Mental Sedunia di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Oktober, 2018

DIANGGARKAN 40% daripada rakyat Malaysia berdepan masalah kesihatan mental dalam kehidupan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini. 

Beliau berkata berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan tahun lalu, 18,336 individu menghadapi pelbagai tahap tekanan emosi. 

Daripada jumlah keseluruhannya, 11,811 mengalami tekanan ringan, tekanan sederhana (3,680) dan tekanan teruk (1,682). 

Dr Wan Azizah berkata masyarakat perlu menjauhkan sikap menyisihkan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental dan sebaliknya memberi bantuan kepada mereka.

“Malah, ada sesetengah orang Islam menyifatkan masalah kesihatan mental sebagai kurang keimanan dan menasihatkan mereka untuk lebih banyak beribadat, lebih takutkan Allah dan lupakan situasi mereka. 

“Mengapa kita mudah bersimpati dengan, katakan, mereka yang patah tangan tetapi kita jauhkan diri daripada mereka yang mengalami tekanan emosi?” katanya selepas merasmikan program Hari Kesihatan Mental Sedunia di Putrajaya hari ini. 

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan pengerusi Yayasan Kesihatan Mental Hashim Meon. 

Beliau berkata pelbagai isu kesihatan mental juga meningkat dalam kalangan remaja, seperti ketagihan internet, merokok dan penyalahgunaan dadah. 

Katanya, laporan merupakan petanda masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja yang membimbangkan di negara ini. 

“Kita tidak mahu melihat generasi muda kita dengan pelbagai isu kesihatan mental dan psikologi ketika mereka meningkat dewasa.  

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu merancang, bukan hanya kepada perkhidmatan yang perlu, penjagaan dan lain-lai tetapi juga langkah mengatasi, pencegahan awal dan membina daya tahan,” katanya. 

Tambahnya pendidikan kesihatan mentak juga perlu diajar pada peringkat awal kerana ia merupakan aspek penting dalam kehidupan harian.  – 11 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen