Penyokong Umno akan berkumpul jika Zahid ditangkap


Noel Achariam

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berkata ratusan ahli akan berkumpul di ibu pejabat SPRM jika presiden Ahmad Zahid Hamidi ditahan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.

PENYOKONG Umno akan keluar berhimpun jika presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Lokman Noor Adam.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata ratusan ahli akan berkumpul di ibu pejabat SPRM jika Zahid ditahan hari ini.

“Kami tidak ke SPRM kerana mematuhi arahan presiden supaya jangan berhimpun.

“Jika beliau ditahan, maka akan ada ratusan penyokong berkumpul untuk menunjukkan solidariti,” katanya kepada The Malaysian Insight, menjelaskan mengapa tiada ahli parti di ibu pejabat SPRM pagi ini.

Zahid meminta penyokongnya tidak mengadakan sebarang himpunan di depan SPRM ketika beliau dipanggil untuk soal siasat semalam.

Pada Selasa, Lokman menggesa ahli parti untuk berkumpul di ibu pejabat SPRM pada Rabu sebagai sokongan untuk Zahid.

Ini kali keempat Zahid dipanggil oleh SPRM, di mana beliau akan meneruskan soal siasat berhubung satu kes rasuah.

Zahid tiba di ibu pejabat SPRM jam 9.16 pagi tadi ditemani peguamnya. Tiada penyokong menanti ketibaannya.

Pada Julai, SPRM menyoal siasat Zahid sebanyak dua kali berhubung satu organisasi amal yang ditubuhkannya – Yayasan Akal Budi.

Dilaporkan sebanyak RM800,000 diselewengkan daripada yayasan itu untuk membayar bil kad kredit Zahid dan isterinya.

Bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun berkata, perkara itu satu kesilapan. – 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen