Stesen radio, TV lebih bebas selepas PRU14 


Chan Kok Leong

Pengurus Besar radio BFM, Meera Sivasothy berkata stesen radio itu pernah didenda RM10,000 kerana mewawancara pengkaji Islam, Reza Aslan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Oktober, 2018

STESEN penyiaran radio dan televisyen kini menikmati kebebasan untuk mengembangkan liputan mereka mengenai politik dan isu semasa di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan, kata pimpinan stesen radio dan televisyen.

Sebagai contoh, Pengurus Besar radio BFM, Meera Sivasothy sekarang tidak perlu lagi menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) senarai topik dan orang yang akan mereka wawancara pada setiap minggu.

“Lega. Ini cukup melegakan bagi orang yang menjaga bahagian kawal selia untuk 10 tahun yang lepas,” kata Meera, mengulas bagaimana keadaan sekarang selepas pilihan raya umum ke-14.

Mengimbas kembali sejak 10 tahun lalu, Meera berkata BFM pernah dipanggil beberapa kali dan didenda RM10,000 pada 2014 kerana mewawancara pengkaji Islam, Reza Aslan.

“Sembilan daripada kami – penerbit, penyampai, podcaster, ketua pasukan dan saya yang meluluskannya – perlu memberi keterangan selama tiga hari. Tetapi tiada apa yang berlaku sehingga setahun kemudian apabila mereka tiba-tiba datang ke pejabat dengan denda,” kata Meera dalam satu temubual di pejabat baharu BFM di Menara Ken TTDI, di Kuala Lumpur.

Satu lagi wawancara yang menimbulkan masalah kepada BFM adalah temu bual bersama Rafizi Ramli berhubung isu National Feedlot Corporation pada 2011. 

“Ketika itu merancang temubual pun akan dipanggil (oleh pihak beerkuasa). Apa saja yang berkaitan seks dan agama, dan politik pasti akan beri masalah,” tambahnya.

Sementara itu, ketua pengarang kumpulan Astro Awani Suhaimi Sulaiman berkata, ada sesetengah program di stesen TV 24 jam itu sekarang yang “tidak pernah nampak” sebelum ini.

“Ketika Malaysia lama, debat melibatkan parti pembangkang tidak pernah nampak,” kata Suhaimi.

Katanya, orang fikir mereka hilang akal kalau mahu menyiarkan debat mengenai PKR semasa pentadbiran Barisan Nasional dulu.

“Tetapi selepas pilihan raya kami siarkan debat pemilihan presiden Umno secara langsung dan jika lihat pada graf (penonton), ia meningkat. Selepas itu kita siarkan debat pemilihan naib presiden PKR dan debat Pemuda,” kata Suhaimi.

Sejak PRU14, BFM dan Awani sudah menemubual veteran DAP Lim Kit Siang. Awani turut menampilkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam liputan 100 hari pasca PRU14.

Siapa menerajui media sekarang?

Suhami, 56, yang memulakan karier sebagai pembaca berita dengan TV3, percaya selepas sekian lama berdiam diri, rakyat Malaysia mula mengawal media.

“Penonton kini mahu kami dapatkan kedua-dua belah pihak. Kalau kami tak buat, penonton akan tanya apa jadi dengan Malaysia Baru? Sebagai wartawan kami lebih suka dapat bercakap dengan kedua-dua pihak,” katanya.

Menurut Suhaimi, penonton sekarang mengarahkan stesen penyiaran melalui emel dan media sosial siapa yang patut ditemubual.

“Sebagai wartawan kita sentiasa melangkaui sempadan tetapi masyarakat kini bergerak lebih pantas. Mereka yang mahukan. Bukan kerajaan tetapi rakyat,” tambahnya.

Antara program baru Awani ialah segmen bual bicara oleh blogger video popular Mat Luthfi dan bekas penyampai radio Sharaad Kuttan.

Mat Luthfi menjalankan segmennya dalam Bahasa Malaysia dengan loghat Kedah sementara Sharaad mengacarakan bual bicara berbahasa Inggeris dari pukul 10 malam hingga 11 malam setiap hari.

Pada 2016, Awani pernah cuba mengetengahkan rancangan bual bicara sama yang dihoskan pelawak Harith Iskander. Ia hanya bertahan satu musim dan sempat menampilkan bekas menteri Rafidah Aziz dan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ketua Pengarang Kumpulan Astro Awani Suhaimi Sulaiman berkata selepas PRU14, antara program baharu diperkenalkan ialah segmen bual bicara oleh blogger video popular Mat Luthfi. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2018.

Menurut Suhaimi, rakyat Malaysia mahukan lebih banyak debat politik dan analisis berita semasa dan selepas PRU14.

“Kami pernah menerima 4-5 juta pengunjung unik sebulan tetapi pada Mei, kami menerima 12 juta pengunjung dan 86 juta paparan halaman,” katanya merujuk pada portal berita Awani.

“Setiap kali kami mengadakan debat, angka itu akan meningkat,” katanya.

Walaupun rasanya seolah-olah tiada lagi kawalan kerajaan, Meera percaya setiap stesen penyiaran perlu ada batasnya.

“Kami pernah menemubual Lim Kit Siang, Khairy Jamaluddin dan Tom Wright dan seolah-olah sekarang ini tiada kawalan.

“Tiada yang diberikan perhatian oleh kerajaan tetapi pendengar sentiasa ada dan kita perlu menetapkan batas, apa yang sesuai dan apa yang tidak.”

Meera berkata BFM menerima maklum balas yang sama daripada masyarakat umum yang mahu lebih banyak pemimpin pembangkang ditampilkan ke udara.

“Selain pemimpin yang petah seperti Khairy, tidak ramai antara mereka (pembangkang) yang tahu hala tuju mereka.

“Kami mahu lebih banyak pembangkang kerana kita juga memerlukan pembangkang yang kuat. Tetapi mereka masih belum bersedia dan tidak cukup yakin lagi.”

Untuk berapa lama?

Ironinya, kata Suhaimi satu-satunya aduan yang Awani terima sejak PRU14 ialah daripada ahli Majlis Tertinggi Umno dan bekas pengarah komunikasi strategik unit propaganda (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz.

Pada Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Tun Faisal mendakwa saluran itu menyokong Pakatan Harapan “lebih teruk berbanding TV3” menyokong kerajaan semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

“Kami jelaskan bahawa kami menyiarkan siaran langsung dari perhimpunan agung Umno dan kami juga siarkan ucapan dasar presiden secara langsung di TV. Sejak itu beliau berkendur selepas kami jawab pandangannya melalui siaran media di laman web kami,” kata Suhaimi.

Namun ketika kebebasan baharu itu diraikan, Meera tertanya-tanya sampai bila ia akan bertahan.

“Saya masih terfikir pada masa tertentu tekanan akan datang juga. Secara peribadi saya rasa media adalah ancaman kepada mana-mana kerajaan,” kata Meera.

Kerajaan mesti mengelak daripada cuba untuk meletakkan peraturan pada kandungan sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan masyarakat, tambahnya.

Bagi Suhaimi, semuanya sudah terlambat.

“Kita tidak boleh tentukan topik mana yang masyarakat mahu dengar. Sekiranya ia disusun dan dibawa dengan baik dan kita tahu apa yang boleh mereka terima, tiada topik yang tidak boleh kita bincangkan. Bergantung bagaimana kita menyampaikannya.

“Sejak 9 Mei saya tidak terima sebarang pangglan daripada mana-mana pihak yang menghalang kita buat sesuatu. Sebelum ini ada panggilan terus kepada saya atau pihak lain dalam organisasi.

“Penonton mahukan pandangan daripada kedua-dua belah pihak. Kita hanya mendapatkannya. Saya tidak fikir penonton boleh dikawal lagi,” kata Suhaimi.  – 13 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen