Putrajaya perlu perhalusi semakan projek, kata pakar ekonomi 


Bernard Saw Yeoh Cheong Ee

Pakar ekonomi mengingatkan kerajaan agar lebih berhati-hati dalam rundingan semula projek meganya kerana ia boleh membawa kepada tidak percaya terhadap kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018

PEMBATALAN kontrak MMC-Gamuda untuk membangunkan projek bawah tanah MRT2, dan tindak balas dari syarikat dan masyarakat awam, mencetuskan kebimbangan pakar ekonomi yang tindakan Putrajaya itu akan membawa kepada pertelingkahan antara sektor awam dan swasta. 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Ahad mengumumkan MMC-Gamuda akan meneruskan pembinaan seksyen permukaan jajaran itu, kontrak bawah tanah akan dimansuhkan kerana kegagalan mencapai persetujuan berhubung kos. 

Lim berkata kerajaan kini akan membuka tender terbuka antarabangsa untuk kerja-kerja itu. 

Syarikat berkenaan bagaimanapun bertindak balas dengan melancarkan kempen media sosial untuk mendapatkan sokongan dan tekanan awam terhadap kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan itu. 

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan menyemak semula keputusan awalnya, susulan dakwaan MMC-Gamuda pembatalan kontrak itu akan menjejaskan 20,000 pekerjaan.

Pakar ekonomi Lee Heng Guie mengingatkan kedua-dua kerajaan dan sektor swasta untuk terus kekal telus dan terbuka dalam rundingan semula kontrak sedia ada. 

“Hentikan merumitkan keadaan, ini bukan cara yang betul,” kata Lee yang juga merupakan pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Ahad mengumumkan pembatalan kontrak bagi projek bawah tanah MRT2. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018 

“Ini sebabnya ia perlu telus, sebab perlu diberikan terhadap semua keputusan agar ketidakpastian boleh dikurangkan. Sekiranya (projek) tidak boleh dijalankan, tender semula projek boleh dibuat,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Lee berkata sektor swasta juga perlu sedar bahawa kerajaan tidak memaksa syarikat untuk beroperasi dalam kerugian, tetapi hanya mengurangkan sedikit margin keuntungan untuk menjadikan projek itu lebih berpatutan. 

“Banyak kerja dalaman yang kita tidak tahu tetapi kerajaan mungkin berpandangan semua pihak perlu berkorban kerana hutang negara yang tinggi, itu termasuk kedua-dua syarikat swasta yang memegang kontrak kerajaan, dengan harapan mungkin mereka boleh kurangkan margin keuntungan,” katanya. 

Katanya, kurang kepercayaan dan pertikaian antara kerajaan dan sektor swasta akan mengganggu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi. 

Ketua strategis Phillip Capital Management Sdn Bhd Phua Lee Kerk berkata dalam kes MMC-Gamuda dan Putrajaya, pembatalan kontrak adalah biasa dalam industri.

“Dalam beberapa tahap, kedua-dua pihak bertanggungjawab, kos akan ditanggung pengguna menerusi harga tiket yang lebih tinggi, adakah ini adil kepada pengguna?” katanya berhubung keputusan Putrajaya untuk membatalkan kontrak itu. 

Berkenaan tindak balas pekerja MMC-Gamuda, Phua berkata semua industri berdepan risiko yang sama dan ia tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada kerajaan terhadap mana-mana potensi kehilangan kerja. 

Setiausaha politik menteri kewangan Tony Pua menyelar syarikat berkenaan kerana cuba meletakkan mereka sebagai mangsa dalam isu ini dan meraih sokongan masyarakat awam. – Gambar fail The Malaysian Insight , 11 Oktober, 2018

“Sebagai pekerja sektor swasta, mereka ada risiko bermula dengan (pembatalan kontrak) ini, sukar untuk menyalahkan kerajaan kerana ini. 

“Sekiranya syarikat berkemampuan, mereka boleh memenangi kontrak lain, jadi pekerja masih mempunyai sumber pendapatan,” kata Phua. 

Terdahulu, Tony Pua mendedahkan keengganan pengarah MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos kepada harga yang dianggarkan perunding kejuruteraan bebas sebagai adil, membawa kepada pembatalan kontrak mereka. 

Pua yang juga setiausaha politik kepada Lim, menyelar syarikat berkenaan kerana cuba mendapatkan sokongan awam dan meletakan mereka sebagai mangsa dalam isu ini. – 11 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen