PENGHARAMAN minum arak, mencekup pasangan maksiat, menangkap orang yang tidak berpuasa, menghambat jemaah yang ponteng solat Jumaat tidak akan menjadikan masyarakat Islam lebih beragama.
Yang masyarakat perlukan dari sebuah negara bukanlah pengagamaan tetapi kebebasan dalam praktik beragama. Justeru, negara tidak harus mencampur aduk serta bijak pula membezakan mana dosa bersifat peribadi, mana pula mudarat kepada awam.
Kerana negara tidak sesekali menganggu ruang peribadi seseorang selagi tidak mengundang kerosakan awam. Bahkan negara wajib menghormati dan melindungi hak peribadi seseorang. Bukan tanggungjawab negara untuk mencegah kemungkaran hingga masuk ke dalam selimut mana-mana rakyatnya. Sesungguhnya, dosa itu antara si pelaku dengan Tuhan, bukan negara dengan Tuhan.
Namun, terdapat kelompok agama yang membakulkan semua jenis dosa dalam raga yang sama. Habis semua perkara peribadi seseorang mahu diselongkar, lebih-lebih lagi dosa peribadi. Bahkan mereka sanggup pula mengaibkan individu atas nama “peringatan dan pengajaran kepada umat lain”.
Keghairahan itu pula lama-kelamaan mengundang elemen kekerasan – konon demi menjaga nama baik agama, dengan akur perintah Tuhan untuk menghalang kemungkaran.
Atas nama menjaga agama, mereka berselindung di sebalik jargon dakwah “amar ma‘ruf” dan “nahy munkar”. Kemudian tanpa segan silu mereka mengguna pakai hadis “fal-yughayyirhu biyadihi” (Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya…). Tindakan itu bermaksud campur tangan penguasa melawan kemungkaran, semata-mata mahu menghalalkan perbuatan mereka.
Kerosakan pemikiran beragama sebegini tidak sesekali dapat menonjolkan sikap Rahmatan lil alamin, bahkan ia mengundang kejelekan. Islam bukan begitu; Islam bukan agama yang galak menyelak kain dan mengawal kelamin manusia. Islam memelihara hak semua individu dari segenap segi. Islam bukan agama skodeng.
Sebaliknya, Islam mengajar umatnya untuk menghormati ruang peribadi dengan tidak melakukan tajasus yakni mencari-cari dosa orang lain. Bahkan tidak ada dalam sejarah membuktikan nabi dan para sahabat terhendap-hendap mengintai, mencari-cari dosa di ruang peribadi umatnya, jauh sekali menerjah pintu rumah untuk menegakkan hukum-Nya, dengan menangkap pasangan khalwat.
Pesan ulama, kisah sahabat
Dalam perihal bab amar ma‘ruf dan nahy munkar, Imam al-Ghazali ada memberi beberapa panduan untuk umat memahami konsep tersebut. Menurutnya, konsep itu terpakai di ruang awam, bukan ruang peribadi. Justeru, ia tidak boleh dilakukan secara kekerasan.
Malah, ada kisah yang masyhur dalam kitab Ihya Ulumiddin karangan al-Ghazali yang turut menukilkan kisah Saidina Umar al-Khattab, khalifah kedua selepas kewafatan nabi.
Kisah yang terkenal itu menjadi hujah betapa Islam menolak untuk mencegah kemungkaran dengan mengintip.

Begini kisahnya: Umar memanjat dinding rumah seseorang dan mengintip. Beliau mendapati lelaki itu dalam keadaan tidak senonoh. Sebaliknya, lelaki tersebut berkata kepada Umar bahawa dia melakukan satu kemaksiatan sedangkan Umar melakukan tiga kemaksiatan.
Umar tersentak lalu bertanya kepada lelaki itu. Lalu, lelaki itu menyebutkan firman Allah (Al-Hujuraat, ayat12), (Al-Baqarah, ayat 189), dan (An-Nuur, ayat 27). Kemudian, Umar meninggalkan lelaki itu.
Jelas betapa Allah melarang perbuatan mencari-cari kesalahan termasuk mengintip, semberono memasuki pintu rumah tanpa salam, tanpa kerelaan penghuninya; menceroboh batas peribadi seseorang hingga melanggar nilai kemanusiaan.
Bukankah Islam menyuruh kita saling menghormati?
Ironinya, dalam konon berdakwah dengan mencegah maksiat (dengan cara mengintip atau memaksakan hukum), pada masa sama, tanpa sedar kita melakukan kezaliman.
Lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan zina; tanpa saksi yang jelas, sebarang tuduhan tidak harus membawa apa jua yang berbentuk hukuman kepada individu yang dituduh melakukannya. Tuduhan zina bukan perkara main-main. Meski Nabi sekalipun menjauhi dirinya daripada mendengar perkara yang syubhah – menjatuhkan hukum dalam perkara yang tidak pasti, seperti sabda baginda: “Tolaklah hudud yang ada padanya keraguan.”
Ini selaras dengan hadis riwayat Ibn Majah dalam bab hudud: “Pertahankanlah (jauhilah) hudud selagi kamu dapati padanya boleh dipertahankan).”
Ketika Nabi didatangi seorang pemuda yang mengaku melakukan zina sebanyak empat kali, baginda memalingkan muka sekalipun pemuda itu meminta supaya beliau dijatuhkan hukum.
Bahkan, dalam riwayat lain, Ibn Hibban menyebut nabi mengarahkan pelaku zina itu iaitu Maiz supaya tidak lagi menemui baginda untuk menyatakan perbuatannya itu – zina. Jelas, nabi tidak sesekali mencari-cari dosa peribadi seseorang.
Betapa sesungguhnya, agama bukan bersifat kerahan dan paksaan tetapi dengan penuh kerelaan. Dunia ini sebagai medan ujian, tentunya wujud kebebasan umat melakukan dosa.
Mereka yang tercari-cari dosa orang lain mungkin gagal memahami pesan Quran hingga melahirkan pemikiran simplistik agamawan. Mereka barangkali tidak mencermati dengan kritis ayat Ali Imran (3: 110) tentang idea Khayra Ummah (Umat Terbaik).
Pesan terpenting ayat tersebut – untuk menjadi umat terbaik dengan menganjurkan kebaikan dan menolak kemungkaran – ditanggapi sebagai berlumba-lumba mencari-cari dosa orang lain; bukannya semua orang berlumba-lumba melakukan dakwah tanpa membezakan ruang peribadi mahupun awam.
Justeru, pesan itu difahami bernuansa dosa peribadi. Jauh sekali melawan rasuah, ketidakadilan yang menjamin kesejahteraan dan good governance.
Membuat serbuan tanpa asas kukuh, merakam individu yang didakwa melakukan maksiat dalam keadaan mengaibkan, bukan konsep mencegah dalam Islam. Hingga kepalang aib mendatangkan ketakutan seterusnya membawa kecederaan, bahkan kematian; ia tentu sekali bukan ajaran Islam. Ia jauh tersasar dari konsep sebenar amar ma‘ruf dan nahy munkar!
Penswastaan polis moral
Ayat amar ma‘ruf dan nahy munkar sebenarnya mengajak manusia supaya tidak mensyirikkan Tuhan dan menolak kemungkaran penyembahan berhala. Quran sekadar membataskan hukuman dosa tersebut hanya di akhirat, bukan di dunia. Membuat polisi moral atau melakukan kerja Tuhan bukan dari Tuhan tetapi hanya kelompok tafsiran manusia yang memandai-mandai mengatakan itu perintah Tuhan.
Akhirnya tangan-tangan manusia ortodoks telah menswastakan konsep tersebut mengikut selera mereka – kerana mahu menjaga batas keagamaan supaya tidak mendekati dosa.
Maka, undang-undang dilaksana dalam bentuk kerahan dan paksaan. Hal ini diulas oleh sarjana Michael Cook, seorang pengkaji Islam lewat bukunya Commanding Right and Forbidding Wrong in Islamic Thought.
Salah faham konsep itu akhirnya membentuk polis moral atau disebut hisbah dalam hukum Islam. Konsep amar ma‘ruf dan nahy munkar diswastakan menjadi sebuah lembaga yang bernama Wilayat al-Hisbah (polis syariat) – lembaga yang memantau dosa individu. Sekaligus ia membuka ruang pengawasan moral terhadap seseorang individu dan mencipta kod moral syariat dalam masyarakat.
Kesannya, seseorang akan berasa berdosa jika tidak melakukan kerja dakwah termasuk membanteras kemungkaran. Sehingga kini, pemikiran muhtasib kukuh di benak pemikiran umat beragama. Mereka tidak akan tenang melihat dosa peribadi orang lain dan mahu mencegah dengan apa tindakan sekalipun.
Misalnya, mereka tidak keruan apabila mendapati ada muslim minum arak, tidak berpuasa di tempat awam – walau tidak menganggu ketenteraman awam, pasti mahu ditangkapnya.
Penswastaan atau polis moral sebegini banyak berlaku di negara Islam seperti Arab Saudi, Iran dan Afghanistan. Kononnya polis moral dapat membendung kerosakan sebaliknya tindakan mereka langsung tidak menjustifikasikan Islam, sedangkan nilai-nilai agama berkembang mekar dalam naungan kebebasan.
Dalam sejarah Islam pula, konsep hisbah (polisi moral) tidak berlaku pada zaman Nabi Muhammad saw. Bahkan Nabi tidak menganjurkan tindakan menswastakan undang-undang moral.
Lembaga hisbah wujud selepas kewafatan nabi. Sejarah Islam sebaliknya juga menunjukkan hisbah merujuk kepada seseorang yang ditugaskan (muhtasib) untuk menjaga kawalan harga di pasar supaya tidak berlaku sebarang bentuk kezaliman dan penindasan.
Tiada polis moral tidaklah bermakna tiada maksiat pada zaman nabi. Namun kemaksiatan pada zaman Nabi dicegah dengan cara yang bijaksana, dengan menampilkan nilai ketinggian akhlak. Sikap nabi dalam mengurus isu kemungkaran jauh berbeza berbanding penguasa agama pada masa ini.
Jelas sekali, tugas Rasul hanya sebagai pemberi peringatan. Rasul tidak melakukan paksaan atas orang lain untuk menerima iman. Jauh sekali bersikap kasar. Itu urusan Allah.
Memaksa orang untuk menuruti perintah Tuhan apatah lagi secara desakan dan kekerasan tidak membawa keuntungan kepada agama. Sebaliknya, yang dilahirkan adalah kelompok yang terpaksa pura-pura beragama. Ketakwaan yang tulen tidak sesekali hadir dengan cara yang keras.
Dengan memaksa suruhan Allah secara menakut-nakutkan umat kepada undang-undang manusia, bukan dengan menginsafi-Nya, apakah agama akan menjadi lebih mulia?
Justeru, berhentilah menjadi pengampu Tuhan.– 10 Oktober, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen