PUTRAJAYA akan membentangkan rang undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati pada sidang Parlimen akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong.
Sidang Parlimen seterusnya akan bermula 15 Oktober depan.
Sehingga hukuman mati itu dimansuhkan, moratorium akan dilaksanakan, tambahnya lagi.
“Semua hukuman mati akan dimansuhkan,” kata Liew kepada wartawan selepas bercakap di sebuah forum undang-undang di Universiti Malaya hari ini.
“Kami akan menelitinya dan mendengar pandangan semua, tetapi setakat hari ini, keputusannya adalah untuk menghapuskan hukuman mati.”
Pada masa sama, Lembaga Pengampunan akan ditugaskan untuk meneliti permohonan tahanan yang menunggu hukuman mati, tambahnya.
“Pandangan kami adalah hukuman tidak wajar dilaksanakan dan kami akan memaklumkan Lembaga Pengampunan supaya meneliti pelbagai langkah untuk tahanan yang menunggu hukuman mati sama ada terus menahan atau membebaskan mereka.

“Jika terus ditahan, mereka akan berdepan hukuman penjara seumur hidup kerana ada beberapa kematian disebabkan pesalah jadi mereka dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah,” katanya.
Katanya lagi, kertas kerja penghapusan hukuman mati dalam peringkat terakhir dan peguam negara (AG) sudah memberikan kebenaran untuknya dibentangkan di Parlimen.
“Semua kertas dalam peringkat terakhir. AG juga sudah menyatakan kepada kami ia sedia dibentangkan, harapnya pada sesi Parlimen ini,” katanya.
Sebelum itu, bercakap pada forum itu, Liew memberitahu hadirin yang keputusan Kabinet tentang perkahwinan kanak-kanak adalah hanya orang dewasa boleh memberikan kebenaran waras untuk menikah.
“Konsensusnya adalah menghadkan perkahwinan kanak-kanak kepada 18 tahun. Bermaksud, bawah 18 tak boleh kahwin.”
Beliau menambah, rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tambahnya, ada suku kaum atau komuniti tertentu yang membenarkan kanak-kanak berkahwin awal.
“Kadang-kadang terlalu ramai orang dalam rumah atau mereka perlukan bantuan untuk bercucuk tanam. Ini kes terpencil.” – 10 Oktober, 2018.
Komen