KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg perlu membincangkan bantahan beliau mengenai perwakilan dalam jawatankuasa khas kabinet untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963, kata menteri undang-undang de facto, Liew Vui Keong.
“Kami sudah memasukkan Peguam Negeri Sarawak dalam senarai jawatankuasa,” kata Liew kepada wartawan selepas bercakap di sebuah forum undang-undang di Universiti Malaya hari ini.
“Datang dan bincang dalam jawatankuasa pemandu. Kita selesaikan isu-isu itu.”
Sarawak sebelum ini mempertikaikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pakatan Harapan yang dicadangkan.
Abang Johari mengatakan ia harus dimodelkan mengikut Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang dibentuk pada tahun 1961, ketika pembentukan Malaysia.
“Ia tidak sepatutnya menjadi jawatankuasa kabinet,” kata Abang Johari kepada pemberita di Kuching hari ini.
Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, dimasukkan ke dalam jawatankuasa bersama Peguam Negeri Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid.
Menteri Kerja Raya Baru Bian juga ada turut dimasukkan ke dalam jawatankuasa pemandu.
The Malaysian Insight melaporkan jawatankuasa itu turut disertai Ketua Setiausaha Negeri Sarawak Morshidi Ghani manakala Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen dimasukkan ke dalam jawatankuasa teknikal.
Liew tidak mengumumkan nama-nama mereka dalam jawatankuasa teknikal.
The Malaysian Insight melaporkan bahawa beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu bersama Peguam Negara Tommy Thomas.
Menteri itu berkata jawatankuasa kerja akan diputuskan dalam masa sebulan dan akan terdiri daripada pemimpin dan pegawai kerajaan dari negara-negara Borneo.
“Jawatankuasa kerja akan terdiri daripada pelbagai wakil dari Sabah dan Sarawak, termasuk ketua-ketua jabatan kerajaan kerana ia memerlukan kakitangan dan kerja pentadbiran yang,” kata Liew lagi.
“Fungsinya adalah untuk selesaikan semua permasalahan dasar yang tidak perlu dipertimbangkan oleh jawatankuasa pemandu. Jawatankuasa kerja adalah sangat penting. Ia akan menyusun terma rujukan untuk pertimbangan jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemandu.
“Secara amnya, kita tidak mahu kembali melihat aspek sejarah mengenai perkara itu kerana beberapa hal yang banyak dipertikaikan. Kita perlu pergi ke inti perkara, iaitu pelaksanaan Perjanjian Malaysia (1963). “
Beliau berkata satu laporan akan dikeluarkan dalam tempoh enam bulan.
Matlamat tiga jawatankuasa ini adalah untuk memperbaharui undang-undang dan dasar bagi menjadikan Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama di persekutuan.
“Ia akan menjadi holistik. Keseluruhan pakej ini termasuk isu royalti minyak dan pembangunan untuk negeri-negeri Borneo
“Ia akan bersifat inklusif. Ia akan mengetengahkan isu yang sangat dekat dengan hati dan minda setiap rakyat Sabah dan Sarawak.”
Enam bulan tersebut adalah bagi mencari jalan terbaik untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
Jawatankuasa kerja perlu ditubuhkan dalam sebulan manakala mesyuarat mungkin akan diadakan di Putrajaya, tambah Liew lagi.– 10 Oktober, 2018.
Komen