JAWATANKUASA khas kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963 akan mengeluarkan laporan cadangan selepas enam bulan penubuhannya, kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong.
Senarai jawatankuasa itu diluluskan hari ini selepas perbincangan di mesyuarat kabinet pagi ini, kata Liew dalam sebuah forum undang-undang di Universiti Malaya.
Terdapat 3 peringkat dalam jawatankuasa khas kabinet, ia termasuklah jawatankuasa pemandu, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja.
“Mereka akan keluarkan laporan cadangan selepas 6 bulan penubuhannya,” kata Liew lagi.
“Jawatankuasa Kerja akan dipilih oleh Jawatankuasa Teknikal dan saya beri jaminan bahawa lebih ramai wakil dari Sabah dan Sarawak akan dimasukkan ke dalam jawatankuasa ini,” katanya.
“Saya percaya ahli-ahli jawatankuasa ini akan melaksanakan tugas penting ini demi kepentingan rakyat terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak yang berharap mereka bagi melaksanakan perubahan. Jawatankuasa ini bukan sahaja mencadangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia, mereka juga akan turut memantau pelaksanaan yang akan dijalankan oleh pihak-pihak berkepentingan. “
Liew berkata beliau melawat ke Sarawak pada hari Isnin dan membuat “pengumuman yang sangat penting” mengenai Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963.
“Ini selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada 16 September 2018 bahawa Sabah dan Sarawak akan menikmati status yang sama dengan Semenanjung Malaysia.
“Sangat penting untuk kita bekerjasama dan menyokong pindaan ini walaupun pada masa ini kerajaan tidak mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen. Saya percaya, kita memerlukan keinginan politik yang kuat dan mengetepikan perbezaan politik untuk buat perubahan demi generasi masa depan,“katanya.
Jawatankuasa pemandu akan dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama dengan Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, Peguam Negara Tommy Thomas dan Peguam Awam dari dua wilayah Borneo sebagai ahli jawatankuasa tersebut. Terdapat beberapa orang warga Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa itu.
Sarawak sebelum ini mempertikaikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pakatan Harapan untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari berkata beliau berpendapat bahawa jawatankuasa itu harus dimodelkan mengikut garis-garis Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang dibentuk pada tahun 1961 ketika pembentukan Malaysia.
“Ia tidak sepatutnya menjadi jawatankuasa di bawah kabinet,” kata Abang Johari kepada wartawan hari ini.
IGC dibubarkan pada tahun 1963, terdiri daripada wakil-wakil kerajaan Britain, Ireland Utara, Brunei, Persekutuan Tanah Melayu, dan Borneo Utara (kini dinamakan sebagai Sabah), dan juga Sarawak dan Singapura.– 10 Oktober, 2018.
Komen