PUTRAJAYA menubuhkan dua jawatankuasa untuk menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) susulan mesyuarat Kabinet hari ini.
Sumber kerajaan mengesahkan Jawatankuasa Pemandu itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sumber menyebut ahli jawatankuasa itu termasuklah Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg, Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Perdagangan Antarabangsa Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Profesor Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi, Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin dan Peguam Besar Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid.
Jawatankuasa Teknikal pula akan dipengerusikan bersama oleh Liew Vui Keong dan Tommy Thomas.
Ahlinya terdiri daripada Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin, Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Chong Cheng Jen, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Sabah Hashim Pajian, Ketua Setiausaha Sarawak Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin, Peguam Besar Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim dan Dekan Fakulti Undang-Undang UiTM Rahmat Mohamad.
Terdapat lapan individu berasal dari Sabah dalam kedua-dua jawatankuasa itu iaitu Shafie, Darell, David Wong, Zaleha, Azis, Chan Foong Hin, Hashim dan Borhan.
Manakala, empat pula berasal dari Sarawak iaitu Abang Johari, Baru, Chong dan Talat Mahmood.
Sarawak mempertikaikan cadangan kerajaan untuk penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak MA63.
Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata beliau berpendapat bahawa jawatankuasa itu harus dimodelkan mengikut garis-garis Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang dibentuk pada tahun 1961 untuk melihat pembentukan Malaysia.
“Ia tidak sepatutnya jawatankuasa kabinet,” kata Abang Johari kepada wartawan selepas perasmian pameran dan persidangan air dan bahan buangan di Kuching hari ini.
IGC yang dibubarkan pada tahun 1963, terdiri daripada wakil-wakil kerajaan United Kingdom dan Ireland Utara, Brunei, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (kini dinamakan semula Sabah), Sarawak dan Singapura. – 10 Oktober, 2018.
Komen