Kerajaan harus terima kritikan cendekiawan


Yasmin Ramlan

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Profesor Dr Kamal Salih ketika ditemui pemberita selepas forum 'Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos'yang diadakan di UKM, Bangi hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Oktober, 2018

KERAJAAN harus menerima kritikan daripada para ilmuwan dan cendekiawan secara terbuka untuk menampakkan perubahan yang positif. 

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Profesor Dr Kamal Salih memberi contoh kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang bersikap memendam kritikan apabila mendapati sesuatu keputusan perancangan mereka tidak seperti yang diharapkan.

“Sebenarnya pihak kerajaan harus menerima kritikan. Kerajaan lepas cuba memendam kritikan. Ada yang tak elok dari segi perancangan ekonomi pun. 

“Bila data statistik itu negatif, kerajaan cakap jangan siar. Sebenarnya, itu adalah untuk perubahan. Kalau tak betul, kita terimalah tak betul dan kita cari macam mana nak selesaikannya. Kita mesti ada toleransi kepada kritikan.

“Jadi sepatutnya peranan intelektual, akademik dan ilmuwan ialah menjadi pengkritik kepada kerajaan. Sebab tujuan dan matlamatnya adalah ilmu,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas siri wacana cendiakawan ATMA ‘Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos’ di Universiti kebangsaan Malaysia, di Bangi hari ini. 

Kamal berpendapat, Dasar Ekonomi Baru itu tidak seharusnya diwujudkan dalam bentuk yang sedia ada sekarang. 

Sebaliknya, beliau merasakan ia perlu menumpukan kepada keperluan golongan B40 iaitu mereka yang mempunyai berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860, tanpa mengira kaum. 

“Bagi saya Dasar Ekonomi Baru itu tak harus wujud dalam bentuk yang ada sekarang. Ia harus diwujudkan dalam konteks bukan berasaskan kaum tapi lebih berasaskan kepada keperluan siapa - yang B40 tak kisah Melayu, Cina, India. Semua kita kena tumpukan. 

“Kita nak jurang antara miskin dan kaya itu harus dikurangkan sebab ia boleh membawa kepada ketidakstabilan politik juga,” katanya.

Menurutnya, revolusi mental itu harus dikaji semula dan diteliti hala tujunya kerana mentaliti dan sikap kaum Melayu itu sendiri masih dalam keadaan terkongkong dan negatif, meskipun dari sudut pandangan lain kaum Melayu dilihat berfikiran terbuka.

“Pasal apa kita dari segi mentaliti, sikap, pemikiran masih lagi terkongkong, masih lagi insecure. Tak berani dengan diri sendiri, kita menyalahkan orang lain, tak menyalahkan diri sendiri, semua yang negatif. 

Beliau mempersoalkan dalam perubahan itu, mengapa masih ada isu moral, etika, ukhuwah sesama kaum lain serta masyarakat kucar-kacir.  

“Jadi revolusi mental itu harus dikaji semula. Apa yang berjaya dan tak berjaya dan ke manakah kita?” katanya. 

Bagaimanapun katanya, terdapat perubahan yang dilihat positif ke arah revolusi itu seperti bidang pekerjaan dan penerimaan isu global yang lebih terbuka.   

“Memang ada perubahan. Perubahan maksudnya seperti sikap nak berniaga. Dulu orang Melayu tak mahu berniaga. Maknanya, dia kalau nak cari kerja, nak cari kerja dengan kerajaan atau masuk askar. Tapi sekarang sikap lebih terbuka,” katanya. – 10 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen