TIMBALAN Presiden Parti Warisan Sabah Darell Leiking tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli kerana beliau dijadualkan melawat wilayah persekutuan itu untuk program parti esok.
Rozman yang juga ketua Umno Labuan dijangka akan menyertai Warisan dan menghantar borang keahliannya kepada Leiking pada program berkenaan.
“Kita lihat nanti, memandangkan saya di Labuan, saya juga akan bertemu pemimpin di sana,” katanya.
Ditanya sama ada pemimpin terbabit termasuk Rozman, beliau berkata: Malah kawan-kawan saya juga.
Timbul spekulasi Rozman akan meninggalkan Umno selepas Barisan Nasional tewas pada pilihan raya 9 Mei dan beberapa kali memberi bayangan akan meninggalkan parti.
Bulan lalu, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman meninggalkan Umno dan menjadi ahli Parlimen bebas.
Laporan The Star yang memetik sumber rapat kepada Rozman menyatakan Ahli Parlimen Labuan itu akan menyertai Warisan dan keputusan untuk meninggalkan parti akan dibuat esok, demi kepentingan penduduk Labuan dan tiada kena mengena dengan Umno.
Sumber itu turut menyatakan Rozman mahu bekerjasama dengan Warisan untuk mengembalikan pulau itu di bawah kerajaan negeri selepas ia diserahkan kepada wilayah persekutuan pada 1983.
Labuan diserahkan kepada persekutuan ketika era pentadbiran kerajaan Berjaya sebagai balasan pembangunan penduduk di pulau itu.
Rozman juga merupakan antara ahli Parlimen, termasuk Anifah dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang kekal ketika ahli Parlimen Umno bertindak meninggalkan dewan pada persidangan Parlimen ketika angkat sumpah Speaker Julai lalu.
Salah satu manifesto pilihan raya Warisan adalah menyerahkan kepada penduduk Labuan untuk menentukan sama ada mahu menjadi sebahagian daripada wilayah persekutuan atau kembali kepada Sabah sekiranya pengundi memilih parti itu pada pilihan raya 9 Mei.
Rozman bagaimanapun tidak dapat dihubungi ketika ini untuk mengulas lanjut. – 10 Oktober, 2018
Komen