SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh bersambung hari ini.
Siasatan kes Koh akan bersambung dengan DSP Supari Muhammad dipanggil sebagai saksi.
Awal bulan lalu, siasatan mendengar bahawa pihak berkuasa tidak tahu bagaimana tiga gambar Koh, bersama nombor pendaftaran keretanya berada di rumah suspek pemerdagangan manusia di Pengkalan Hulu, Perak.
Pegawai menemui gambar dan nombor pendaftaran kenderaan “ST5515D”, ketika serbuan di rumah terbabit tahun lalu, yang terletak ratusan kilometer daripada tempat Koh diculik.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya kepada Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed bagaimana gambar berkenaan berada di rumah lelaki, yang ditembak mati oleh polis.
__full.jpg)
Huzir berkata beliau tidak tahu bagaimana gambar berkenaan boleh berada di rumah terbabit.
Koh diculik di Petaling jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki yang menaiki tiga buah kenderaan SUV.
Penculikan itu dirakam kamera litar tertutup, dan disifatkan sebagai operasi terancang.
Siasatan juga akan mendengar koordinator keluarga Amri, Sheryll Stothard, yang dipanggil semula untuk mengesahkan beliau merakam video di kawasan yang didakwa berlaku penculikan di mana pengasas Perlis Hope didapati hilang pada 2016.
Rakamn video itu akan diserahkan kepada panel.
Siasatan Suhakam adalah untuk memastikan sama ada kehilangan Koh, pengasas Perlis Hope Amri Che Mat dan juga Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, merupakan kes kehilangan paksa.
The Malaysian Insight membawakan kepada anda secara langsung siasatan itu:
3.45pm: Mah bertanya Supari jika ada sebarang bukti Koh diseludup ke Thailand.
Supari berkata ada kemungkinan yang Koh diseludup oleh kumpulan di Selatan Thailand tetapi mereka tidak ada bukti.
Mah bertanya Supari apa yang berlaku kepada empat suspek yang ditangkap polis berkaitan kes Koh.
Supari menjawab yang kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin dan mereka tidak ada kaitan dengan kes Koh.
Beliau menjelaskan yang pada mulanya polis merasakan boleh mendapat maklumat daripada mereka tetapi suspek tidak mengetahui apa-apa.
Supari menambah yang tidak cukup bukti untuk mendakwa mereka.
Siasatan tamat dan akan disambung semula pada 15 Oktober.
3.35pm: Pesuruhjaya Mah Weng Kwai bertanyakan status pemandu Uber Lam Chang Nam yang didakwa memeras ugut anak Koh, Jonathan.
Supari berkata kes itu akan didengar November ini.
Mah bertanyakan Supari dimanakah gambar Koh, plat dan kenderaanya yang ditemui di rumah penyeludup di Pengkalan Hulu.
Supari berkata barangan tersebut dalam simpanannya.
Mah kemudian bertanya mengapa gambar Koh ada di rumah penyeludup tersebut.
Supari berkata beliau mengandaikan yang suspek ada hubungan dengan mereka yang menculik Koh.
Katanya, wujud kemungkinan kerana Pengkalan Hulu hampir dengan Thailand dan mereka mungkin terlibat dalam pemerdagangan manusia.
3.25pm: Philip bertanyakan Supari jika ada arahan langsung kepadanya supaya tidak terlibat.
Supari menjawab tiada sebarang arahan.
Philip bertanya siapakah pegawai paling kanan yang boleh memberi taklimat perkembangan terkini kes itu kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Supari menjawab kes itu adalah kes SAC Fadzil.
Philip bertanya sama ada pasukan tindakan khas masih wujud.
Supari berkata SAC Fadzil masih mengetuainya.
Philip berkata keluarga Koh kecewa dan berharap polis memberi taklimat terkini kepada mereka.
Supari berkata setakat ini kes itu tiada perkembangan.
3.15pm: Philip bertanya Supari jika beliau ada perkembangan terkini tentang kes Koh.
Beliau bertanya jika pasukan tindakan khas masih menyiasat kes berkenaan.
Supari menjawab siasatan masih berlaku.
Philip bertanya Supari jika polis masih menyiasat dakwaan isteri Amri, Norhayati Ariffin yang polis terlibat dalam penculikan Amri.
Supari berkata beliau tidak terlibat dalam siasatan dakwaan Norhayati.
Katanya, Inspektor Khor dari Perlis mengetuai siasatan itu.
3pm: Panel memanggil DSP Supari Muhammad ke kandang saksi.
Peguam keluarga Amri Philip Koh bertanya Supari ketika beliau memberikan keterangan kepada panel sebelum ini mengapa beliau mengatakan hanya satu rakaman CCTV wujud berkaitan kes Koh.
Supari berkata ada rakaman lain tetapi ia tidak menunjukkan sebarang kaitan dengan penculikan Koh.
Katanya lagi, nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan ketika kejadian tidak didaftarkan.
2.45pm: Pemerhati polis memberitahu panel yang mereka mengesan pemilik restoran di Perlis, Saiful Adfzan yang mendakwa menyaksikan penculikan Amri.
Polis berkata Saiful bersetuju menghadiri pendengaran itu.
Pemerhati kemudian meminta Suhakam mengeluarkan sepina kepada Saiful yang akan diberikan kepadanya. – 10 Oktober, 2018
Komen