PARLIMEN diberikan tugas memuktamadkan calon untuk dilantik sebagai hakim, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau berkata jawatankuasa pemilihan Parlimen akan menentukan sama ada calon hakim adalah sesuai untuk jawatan itu atau sebaliknya.
“Pada masa lalu, tiada pemeriksaan oleh jawatankuasa Parlimen. Tetapi sekarang, kami sudah memperkenalkan jawatankuasa untuk menyaring senarai calon hakim.
“Hanya selepas itu, nama berkenaan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Itu adalah cara kita. Kita perlu mematuhinya dan menghormati undang-undang serta peraturan,” katanya hari ini.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan berjanji melakukan reformasi terhadap bidang kehakiman dan perundangan. Ia juga berjanji pelantikan hakim akan berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka, tanpa campur tangan politik.
Pada masa lalu, perdana menteri mempunyai kata putus mengenai pelantikan hakim bagi Mahkamah Agung.
Dr Mahathir berkata para hakim tidak lagi perlu takut apabila mereka menjalankan tugas dengan adil.
“Keutamaan di sini adalah keadilan, tidak takut diketepikan untuk kenaikan pangkat.
“Hakim mesti bebas daripada sebarang pengaruh, dan mereka tidak boleh terlibat dalam politik atau menyebelahi keluarga atau sahabat mereka. Mereka perlu mematuhi undang-undang.
“Jika ada sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, hakim yang akan memutuskan apa yang mengikut undang-undang atau sebaliknya.” – 10 Oktober, 2018.
Komen