Mana barang kemas dihantar pada Rosmah, tanya peguam kepada polis 


Bede Hong Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh menunjukkan gambar barang kemas yang dirampas di premis yang berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak pada satu sidang media Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018

DUA tukang emas asing yang mendakwa mereka menjual barangan kemas bernilai jutaan ringgit kepada Rosmah Mansor kini tertanya-tanya di mana barangan kemas tersebut yang masih menjadi misteri.

Peguam yang mewakili tukang emas berkenaan berkata, mereka tidak dimaklumkan oleh polis sama ada barangan tersebut turut dirampas bersama 12,000 barang kemas lain ketika serbuan di premis yang berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei.

Barang kemas yang dirampas terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 rantai leher, 2,100 gelang, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang dan 14 tiara. Rampasan yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah Malaysia itu dinilai kira-kira RM1.1 bilion. 

Tukang emas Lubnan Samer Halimeh memfailkan tuntutan bagi mendapatkan semula 44 barang kemas bernilai RM60 juta yang dihantar kepada Rosmah, yang masih belum dibayar. Rosmah memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuntutan itu, dan mengatakan saman sivil tidak boleh dibuat untuk menuntut barang yang dirampas di bawah undang-undang pengubahan wang haram. 

Dalam afidavit yang difailkan baru-baru ini, Halimeh berkata beliau masih belum menerima pengesahan daripada polis yang mereka telah mengenal pasti barang kemas yang dituntut. 

Tukang emas dari Dubai, Adi Hasan AlFardan juga mahu mengetahui di mana tiga barang kemas bernilai lebih AS$5 juta (RM20.75 juta) keseluruhannya, dihantar kepada Rosmah namun masih belum dibayar pampasan. 

Barangan berkenaan adalah rantai berlian kuning, sepasang anting-anting berlian dan rantai leher berlian berbentuk hati kuning. 

Peguamnya, Ashok Kansiah berkata dua surat dihantar kepada polis untuk mengetahui di mana barang kemas tersebut berada namun beliau masih belum menerima pengesahan daripada polis sama ada barang tersebut dalam simpanan mereka. Surat itu turut menyatakan tiada bayaran yang dibuat oleh Rosmah dan tiada permindahan hak milik dibuat. 

Dalam surat bertarikh 7 Julai kepada pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh, peguam yang mewakili AlFardan berkata beliau menemui Rosmah pada 15 Disember tahun lalu di Grand Hyatt Dubai untuk menunjukkan barang kemas yang ada untuk dijual. 

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor turut memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuntutan Samer Halimeh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018

Selepas Rosmah meminta AlFardan menghantar tiga barang kemas itu kepadanya di Kuala Lumpur, beliau telah empat kali ke Malaysia - pada 20 Disember. 2017, 20 Januari, 10 Februari dan 7 April tahun ini.

Bagi tiga perjalanan itu, beliau menghantar barang kemas untuk dipertimbangkan oleh Rosmah, menurut surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight. 

Ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), individu yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai dari Jabatan Perdana Menteri bertemu dengan AlFardan di balai ketibaan dan mengiringinya menerusi pemeriksaan imigresen dan kastam, menurut surat itu. 

Selepas pilihan raya, AlFardan kembali ke Malaysia pada 20 Jun untuk bertemu Rosmah di Kuala Lumpur, yang mana beliau dimaklumkan tiga barang kemas berkenaan antara yang dirampas oleh polis dan beliau tiada kedudukan untuk membayar kepada mereka, menurut surat itu. 

Dalam perjanjian dengan Rosmah, AlFardan berkata beliau percaya Rosmah adalah “individu terkenal”, dengan nilai bersih dan integriti yang tinggi, menurut surat itu.

Ashok berkata pasukan peguam “berharap” untuk penyelesaian, dan mengatakan polis sepatutnya mampu mengenal pasti dan mengesahkan barangan itu, kerana mereka mengeluarkan sijil dari Gemological Institute Amerika Syarikat. 

Tukang emas Lubnan Samer Halimeh memfailkan tuntutan bagi mendapatkan semula 44 barang kemas bernilai RM60 juta yang dihantar kepada Rosmah.– Gambar Youtube, 11 Oktober, 2018

“Kami mengekalkan semua pilihan terbuka ke arah mendapatkan semula barangan atau ke arah nilai barang,” kata peguam itu.

Sementara itu, sumber polis memberitahu The Malaysian Insight siasatan berhubung rampasan pada Mei itu masih diteruskan. 

Sumber itu menambah, tiada keperluan untuk polis menghantar sebarang surat pengesahan kepada peguam, dan menambah barang berkenaan masih di bawah tahanan polis. 

“Polis boleh menahan barangan yang dirampas berhubung dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga Mei,” kata sumber kepada The Malaysian Insight. 

“Tidak perlu untuk hantar apa-apa kepada peguam.

“Timbalan IGP Noor Rashid (Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim) sudah menjelaskan perkara ini.”

Noor Rashid sebelum ini berkata Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) membenarkan polis untuk menahan barangan yang dirampas selama setahun sementara siasatan diteruskan. – 11 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen