Mengadap kewartawanan manipulasi


Zainal Rashid Ahmad

Wartawan hari ini mahu terlihat lebih berani serta bukan lagi entiti kuno yang diperhambakan budaya kerja sebagai 'pengutip maklumat' semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2018.

PADA dekad 70-an, wartawan dimabukkan dengan teori “The New Journalism”. Petanda bermulanya era lebih kritis dan kompleks dalam pelaporan media massa.

Sedekad kemudian, wartawan mabuk lagi dengan “The New New Journalism” (TNNJ) pula.

TNNJ satu falsafah kewartawan yang cuba menolak faham kewartawan klasik yang taksub kepada elemen 4W (what, when, where dan who) serta 1H (how).

Kemunculan aliran baharu ini menderung mendorong wartawan bersikap lebih campur tangan dalam editorial tanpa dibekukan elemen rigid 4W dan 1H.

Masuk alaf 21, wartawan digoda pula oleh penyebaran fenomena “Reporters Without Borders”. Sebelum muncul trend lebih fenomenal iaitu akibat ledakan media baharu yang sangat berbangga-bangga dengan “The Netizen Journalism”.

Walaupun idealisme kewartawanan, tidaklah sebanyak jenama minuman keras di rak bar atau di kedai arak – namun, pelbagai kebangkitan aliran baharu ini sangat mempengaruhi pelencongan arah dunia kewartawanan. Ia muncul dan jelas sangat memabukkan para wartawan untuk taksub dengan perubahan ini.

Kewartawanan kontemporari kini menawarkan banyak jenama pelaporan maklumat dengan sifat dinamik yang serba baharu. Temanya menjadikan kuasa wartawan lebih menonjol dan bukan sekadar alat kepada 4W dan 1H.

Akhirnya, akibat semua pelencongan baharu ini, wartawan pun sama macam pecandu todi; mabuk ideologi setiap hari.

Ini perangai dan senario dunia kewartawanan yang gilakan jenama perubahan. Jenis kewartawanan yang percaya paparan maklumat mesti berfesyen dan terlihat lebih stailo.

Wartawan mahu terlihat lebih berani serta bukan lagi entiti kuno yang diperhambakan budaya kerja sebagai “pengutip maklumat” semata-mata.

Pelbagai aliran dan teori digembar-gemburkan dan setiap satunya dijulang sebagai pegangan yang hebat dan paling terkehadapan. Era klasik harus dilupakan!

Namun, realiti ini yang lebih kerap menjadikan wartawan kelihatan sangat bengap dan terburu-buru dalam memproses berita pelaporan.

Wartawan jadi lebih kemaruk dengan berita sensasi berbanding meningkatkan integriti dan kecerdikan dalam melaksanakan tanggungjawab memproses maklumat pemberitaan.

Artikel ini tidaklah rigid untuk merujuk pada angka-angka tepat membabitkan kes-kes salah lapor wartawan dan salah laku dalam siaran media massa. Atau, membincangkan berapa puluh juta ringgit setahun organisasi media massa kehilangan wang di mahkamah atau di meja rundingan bagi menyelesaikan saman fitnah. Atau, mengalah secara senyap terhadap semua saman malu dan menyelesaikannya di luar mahkamah.

Bukan perkara aneh, salah lapor wartawan menjadi punca kes saman fitnah yang menyeret syarikat media massa ke mahkamah.

Akhirnya, organisasi terpaksa berbelanja berjuta-juta ringgit setahun bagi menyelesaikan kes-kes saman fitnah ini.

Artikel ini sekadar menyentuh budaya keghairahan wartawan dan media arus perdana dalam melaporkan berita mutakhir.

Keghairahan mencipta sensasi maklumat dalam kalangan wartawan dan media massa arus perdana, kerap kali sangat memalukan.

Media massa arus perdana tertekan dengan era sirkulasi akhbar yang jatuh merudum, serta rating berita TV menjunam teruk yang memaksa mereka bersaing untuk mencipta sensasi. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2018.

Ada kalanya, mentaliti melaporkan maklumat sensasi dalam media massa arus perdana dengan perangai penggosip Facebook (FB) dan blogger cap ayam kelihatan sama saja kualiti laporannya. Malahan, realitinya: Gosip tidak akan menjadi berita, tetapi berita pula tiada bezanya dengan gosip murahan.

Ketika era sirkulasi akhbar jatuh merudum, serta rating berita TV menjunam teruk, media massa arus perdana tertekan menghadapi realiti ini.

Selain pemilik media yang mengalami tekanan bisnes, wartawan turut keliru dan kehilangan arah.

Justeru, timbul tekanan untuk berlumba-lumba dan mengekalkan populariti media massa kendalian mereka dengan saingan penggosip media baharu.

Ada kecenderungan melampau kebelakangan ini – media arus perdana kelihatan cenderung berlumba dengan penggosip FB dan blogger cap ayam dalam mensensasikan nilai berita. Headlines dan intro jadi budaya “hantam sajalah Labu”.

Populariti blogger dan penggosip media sosial yang daring dan pantas, kerap kali menjadi saingan dan meninggalkan laporan media massa arus sebagai entiti yang beku dan basi.

Saingan sensasi ini, sekali gus menjahanamkan integriti wartawan arus perdana, apabila cuba bersaing dan sanggup bersensasi sama taraf dengan pembawang media sosial.

Semua benda mahu disensasikan. Media arus perdana kelihatan seperti puak desperado. Ada kala, wartawan pula macam mabuk glamor; tiba-tiba saja, sangat terpesona menyertai fenomena pembawangan media sosial.

Hasilnya, intergriti kewartawanan tulen dibuang ke tong sampah. Wartawan media arus perdana memilih untuk mengejar dan bersaing secara tidak beretika untuk kekal di depan.

Wartawan tidak lagi peduli soal etika atau berpegang pada kebenaran maklumat. Wartawan beralih arah dan menganggap, media arus perdana perlu bersaing dengan trend penggosip maklumat di media sosial.

Kita tahu sejak kebelakangan ini banyak kecelaruan dilaporkan. Wartawan memanipulasikan kenyataan sesiapa sahaja termasuk perdana menteri, asalkan bunyinya sensasi dan nampak berani.

Kalaulah wartawan sudah menjadi desperado, maka matilah kewartawan sejati. Semua yang akan dibaca masyarakat bukan lagi maklumat. Sebaliknya, hanya maklumat kelas sampah hasil manipulasi mengejar nilai sensasi! – 10 Oktober, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen