Kes Zahid tidak jejas hala tuju parti, kata pimpinan Umno


Nabihah Hamid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memberi keterangan kali ketiga hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2018.

HALA tuju Umno tidak akan terjejas meskipun dakwaan rasuah terhadap presidennya Ahmad Zahid Hamid, kata pimpinan parti.

Zahid akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kali ketiga hari ini.

Mereka sebaliknya percaya ini hanyalah mainan politik untuk memburuk-burukkan pemimpin Umno selain melemahkan semangat akar umbi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam turut percaya tindakan ini sengaja dibuat untuk mengalih perhatian daripada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang banyak tidak menepati janji manifesto.

“Hal ini (dipanggil SPRM) adalah bertujuan untuk memberi tekanan kepada Zahid untuk melemahkan semangat ahli Umno tetapi tidakberkesan.

“Ia untuk mengalih perhatian. Banyak manifesto tidak ditepati. Ekonomi tidak bagus, ringgit lemah dan sebagainya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam yakin siasatan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi bermotifkan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2018.

Lokman sebelum itu mengajak ahli untuk turun berhimpun di Putrajaya untuk memberi sokongan namun dihalang Zahid.

“Zahid mungkin yakin beliau tidak akan ditahan tetapi sekiranya berlaku saya akan teruskan rancangan saya (untuk berhimpun),” katanya.

Sebelum ini ada khabar angin mengatakan Zahid akan ditahan pihak berkuasa berkaitan kes penggunaan dana Yayasan Akal Budi sebanyak RM800,000 untuk membayar bil kad kredit yang ditanggung Zahid dan isteri.

Bagaimanapun, Zahid menafikan sebarang penyelewengan sebaliknya hanya salah faham yang berlaku apabila pegawainya membuat bayaran melalui dana itu.

Namun, pengambilan keterangan kali ini menimbulkan tanda tanya sama ada ia berkaitan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih berjalan atau dana yayasan.

Menurut seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Jalaluddin Alias, Zahid tidak membincangkan mahupun memaklumkan beliau akan memberi keterangan berhubung kes apa.

“Kita tidak pasti beliau dipanggil sebab apa. Tidak dimaklumkan. Tetapi sekiranya ini tindakan bermotif politik, kita tidak akan sewenang-wenang membenarkannya. Namun, jika ada dakwaan pun belum lagi terbukti beliau bersalah.

“Zahid sebagai presiden tidak terjejas. Tetapi jika bersalah dan jatuh hukuman, maka Timbalan Mohamad Hassan akan memangku,” kata ahli Parlimen Jelebu itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad tindakan tidak adil kepada Umno dibuat kerana PH berasa parti ini masih relevan dan memberi ancaman kepada mereka.

“Apa yang diamalkan tidak adil. Kes Lim Guan Eng lepas, Zahid pula disoal siasat. Apa pun mereka buat, akar umbi masih ada.

“Kekuatan Umno bergantung pada akar umbi dan kita masih setia kerana perkara ini jelas bermotifkan politik,” kata Adun Kota Tampan itu.

Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad berkata Umno masih mempunyai sokongan kuat akar umbi walaupun berdepan pelbagai ujian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2018.

Zahid berkata dalam posting Facebook semalam, beliau reda jika kerja-kerja amal jariahnya untuk sekolah tahfiz diklasifikasikan sebagai rasuah dan wang haram oleh pihak berkuasa.

“Saya hanya lakukan kerja2 amal-jariah utk membina Maahad Tahfiz bagi Hafiz2 yg sudah hafal 30 juzuk Al-Quran dari seluruh negara bagi mereka mengambil SPM dan Syahadah (Sijil) al-Hafiz serta Diploma al-Quran untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi ke universiti dalam dan luar negeri.

“Siasatan akan dibuat atas tuduhan rasuah dan Amla terhadap dana-dana sumbangan yang terkumpul dan wang peribadi saya sendiri.

“Semua dana dalam akaun diurus oleh firma guaman sebagai akaun amanah (trust account). Saya reda dengan amal soleh saya telah diklasifikasikan sebagai memperolehi rasuah dan Amla,” kata Zahid., “katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Lokman. – 10 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen