PAKATAN Harapan tidak wajar terjerat dengan perangkap lunas janji pilihan raya kerana ia perlu menangani cabaran menanti, kata bekas menteri Rafidah Aziz.
Penyokong PH juga tidak boleh berharap semua janji manifesto dipenuhi menjelang akhir penggal pentadbiran kerajaan, katanya lagi.
“Anda perlu memastikan apa yang perlu dibuat untuk membawa negara ini ke kurun seterusnya. Tolonglah jangan harapkan janji manifesto dipenuhi semata-mata,” kata Rafidah pada persidangan pelaburan “Malaysia: A New Dawn” di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir pada persidangan itu ialah Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff yang menerajui jawatankuasa merangka manifesto PH menjelang PRU14 lalu.
“Jangan terantai kepada manifesto yang dirangka, malah BN (Barisan Nasional) pun buat begini untuk menang pilihan raya. Ini bukan dasar pentadbiran yang baik,” katanya.
Rais sebelum itu memberitahu peserta persidangan yang manifesto PH adalah untuk melunaskan 10 janji dalam tempoh 100 hari berkuasa. Katanya, kerajaan akan memenuhi semua 60 janjinya dalam penggal pertama.

Rafidah menambah yang terlalu bergantung kepada manifesto adalah pendekatan sempit untuk berdepan dengan cabaran ekonomi dan politik.
“Manifesto buat awak menang pilihan raya. Tetapi anda kena ingat, persekitaran kita terutama persekitaran luar, sangat ‘fluid’, kerap berubah, transformasi berlaku setiap hari, dalam semua aspek,” katanya.
“Jadi bagaiman anda hendak terus berpegang kepada manifesto yang mungkin hanya relevan tiga bulan lepas. Katakanlah, sesuatu berlaku esok, (krisis) kewangan global yang akan memerlukan perubahan besar-besaran ekonomi negara kita.
“Rakyat perlu difahamkan, manifesto adalah manifesto. Ia bukan dokumen atau strategi yang akan bawa anda melepasi lima tahun (mentadbir sebelum) pilihan raya (seterusnya).
“Manifesto untuk 100 hari adalah perkara yang paling tak bijak. Jika anda uruskan negara seperti itu, ia akan rosak. Sama seperti perkahwinan. Awak ukur perkahwinan dengan seratus hari? Oh tuhan, awak tak boleh buat anak pun.”
Beliau juga meluahkan kecewa apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur daripada menjadi menteri pendidikan selepas pengkritik membangkitkan manifesto PH yang menyatakan perdana menteri tidak akan memegang portfolio Kabinet lain.
“Saya kagum dengan idea-ideanya….daripada seorang tokoh umur 93 tahun.”

Merujuk kepada rusuhan kaum 13 Mei, Rafidah berkata perubahan dasar pendidikan dan pentadbiran perlu dilaksanakan bagi meredakan ketegangan kaum dan agama yang boleh meletus di masa depan.
“Pakatan Harapan muncul dalam sinar baharu yang bukan semuanya cerah belaka. Ia meribut, cuaca buruk, awan gelap yang menakutkan.
“Ia masih ada. Awan gelap sudah bergerak pergi. Tidak jauh, masih ada lagi.”
Sebelum itu, Pua memberitahu persidangan yang terdiri daripada jurubank, kerajaan terpaksa menangguhkan beberapa janji dan cukai baharu diperlukan untuk menyeimbangkan bajet negara.
“Ada janji ini, kami terpaksa tangguh kerana situasi kewangan Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan ia dilakukan.
“Ia semudah itu. Saya percaya (kerajaan perlu) jujur dengan rakyat dan selagi mana kita buat yang terbaik, kita boleh lunaskan janji.
“Buat masa sekarang, kewangan kita terhad. Kita perlu mempersiapkan diri untuk berkorban,” katanya.
Persidangan itu dianjurkan Kementerian Kewangan ditaja oleh Maybank, Kumpulan CIMB dan RHB Bank. – 9 Oktober, 2018.
Komen