PUTRAJAYA akan terus membayar bunga hutang terkumpul dana pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu dilangsaikan bulan ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya, kerajaan akan terus menghormati komitmen yang dibuat pentadbiran terdahulu dan tidak akan meletakkan negara dalam keadaan tidak boleh bayar hutang.
“Kita pasti akan bayar bahagian kita,” katanya kepada wartawan selepas persidangan “Malaysia: A New Dawn” di Kuala Lumpur hari ini.
Lim berkata ia kes berbeza sekiranya Barisan Nasional yang tidak dapat bayar hutang.
“Tetapi ini kerajaan Malaysia yang tak dapat bayar hutang dan kita tak boleh benarkan kerajaan Malaysia berada dalam keadaan itu.”
Lim berkata jika negara gagal bayar hutang, akan wujud “penurunan taraf automatik” rating negara lebih daripada setahap.
Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata kerajaan akan melindungi rating antarabangsa serta reputasi kewangan negara.
Ketika ditanya adakah wujud unsur penipuan dalam kontrak tersebut, Lim berkata perkara itu eloklah ditanya kepada Jabatan Peguam Negara.
Sebelum ini dilaporkan yang kerajaan sedang meneliti semula pakej penyelesaian hutang yang dibuat pentadbiran BN dengan Abu Dhabi.
Laporan itu turut menyebut yang Pakatan Harapan perlu melangsaikan bayaran bunga pada pertengahan Oktober.
Bayaran bunga mencecah AS$50.3 juta (RM209 juta) itu adalah komitmen kewangan pertama yang perlu dipenuhi PH berkaitan skandal 1MDB sejak merampas Putrajaya. – 9 Oktober, 2018.
Komen