Pekerja MRT2 boleh diambil bekerja semula, kata Guan Eng


Asila Jalil

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata mereka boleh diambil bekerja semula apabila kontrak baharu bagi projek itu diberikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Oktober, 2018.

PEKERJA Mass Rapid Transit Line 2 (MRT2) yang hilang pekerjaan selepas Putrajaya membatalkan kontrak komponen bawah tanah projek tersebut dan memulakan proses bidaan tender baharu masih boleh diambil bekerja semula sebaik sahaja kontrak baharu diberikan, kata menetri kewangan hari ini.

“Kebanyakan daripada pekerja ini boleh diambil bekerja semula apabila kontrak diberikan. Projek ini diteruskan. Tetapi harapnya pada harga yang lebih rendah. Ia boleh jadi Gamuda atau boleh jadi syarikat lain,” Lim Guan Eng memberitahu pemberita pada forum pelaburan “Malaysia: A New Dawn” di Kuala Lumpur hari ini.

Pengumuman pada Ahad mengenai pembatalan komponen bawah tanah MRT2 yang 40% disiapkan oleh MMC-Gamuda itu telah mendapat reaksi mengecewakan dari pekerja-pekerja projek tersebut.

Gamuda semalam berkata pembatalan itu akan menyebabkan 20,000 pekerja bakal hilang pekerjaan.

Keputusan itu memberi penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM5.2 bilion sebagai langkah untuk memotong kos bagi menangani hutang negara berjumlah RM1 trilion yang diwarisi dari kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, MMC-Gamuda akan meneruskan komponen atas jajaran MRT2 yang menyambungkan Sg Buloh ke Serdang dan Putrajaya.

“Kita tak batalkan projek. Anda perlu faham yang projek ini akan diteruskan tetapi kita mahu dapatkan harga yang jauh lebih baik,” kata Lim.

Tambah beliau, pekerja masih lagi diperlukan untuk melengkapkan bahagian atas MRT2. 

Apabila ditanya sama ada projek itu dapat disiapkan mengikut jadual, Lim berkata satu kenyataan rasmi berkenaan perkara itu akan dikeluarkan kelak.

Jajaran MRT2 dijangka siap pada Julai 2022 dan boleh menampung sehingga 2 juta penumpang.

MMC-Gamuda akan meneruskan kerja-kerja di bahagian atas projek pada harga baharu sebanyak RM17.42 bilion berbanding RM22.64 bilion pada asalnya.

Lim sebelum ini berkata pengurangan kos sebanyak 23% itu tidak akan menjejaskan bahagian bawah tanah projek.

Sementara itu, MMC-Gamuda semalam berkata tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung penamatan kontrak tersebut. – 9 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen